Sunday 22 May 2011

LEBIH 100,000 MUALAF TERABAI DI SABAH?



Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

KEMUDAHAN asas dan bimbingan agama berterusan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi menjamin keperluan dan kebajikan saudara baru di negeri ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, penyediaan kemudahan asas dan bimbingan agama yang berterusan penting bagi memastikan mereka tidak merasa tersisih dan terpesong daripada ajaran Islam sebenar.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapannya pada majlis menyambut rombongan ekspedisi dakwah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) 2011 berkeretapi dari Tanjung Aru ke Beaufort di Tapak Tamu dekat sini pagi kelmarin.

Rombongan tersebut diketuai oleh Yang Dipertua (Yadim) Datuk Aziz Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif (Yadim) Dr.Ahmad Fazil Ahmad dan Pengarah (Yadim) Sabah Haji Samin Haji Ongki

Sebelum itu rombongan turut dilepaskan dari Stesen Keretapi Tanjung Aru Oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin dan rombongan juga turut disertai oleh Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan, Datuk Ghulam Haidar Khan dan Adun Bongawan Datuk Karim Bujang

Menurut Lajim yang juga Pengerusi Perhubungan Sukarelwan PERKIM Sabah berkata, di negeri ini terdapat kira-kira 100 ribu saudara baru, khususnya daripada kawasan luar bandar dan terpencil seperti di Nabawan, Keningau, Ranau dan Tenom yang menganut agama Islam sejak tahun 70-an.

Sehubungan dengan itu beliau berharap agar Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) akan memperluaskan aktiviti dakwah di kawasan terpencil yang mempunyai banyak kekurangan kemudahan asas seperti surau dan guru agama

Pada majlis tersebut Lajim turut menyampaikan sumbangan Yadim kepada sekolah agama negeri dan sekolah agama rakyat di kawasan Beaufort yang diwakili Pengetua dan Guru Besar masing-masing bagi menerima sumbangan tersebut

No comments:

Post a Comment