Tuesday 24 May 2011

MENYINGKAP LELUHUR ASAL MANUSIA



Oleh: ISMAILY BUNGSU

PERNAHKAH kalian bertanya tentang asal usulnya manusia/diri kita sendiri misalnya? Nah, tentunya kita akan berfikir tentang siapa diri kita, kemudian siapa pula yang menciptakan diri kita, kakak kita, ayah kita, nenek kita, moyang kita dan segala macam sehingga kita kemudiannya akan bertanya siapa yang mencipta bumi, lautan, langit dan bagaimana ia dicipta.

Tentunya kita akan menjawab yang kita ini adalah keturunan Adam dan Hawa. Lalu siapa pula yang mencipta Adam dan Hawa itu? Ada yang menjawab yang mencipta Tuhan Yang Maha Berkuasa. Lalu tentunya ada yang akan bertanya yang Tuhan itu siapa pula yang mencipta-Nya? Ah, tentunya terlalu sulit untuk dijawab dan kerana itulah kita perlu sangat banyak membaca.

Adakah kita ini memangnya berasal dari kera seperti yang diteorikan oleh Darwin lewat bukunya yang berjudul ‘On the Origin of Species’ yang diterbit di Inggeris pada tahun 1859?

Lalu kalau memangnya kita ini berasal dari kera yang memang semacam manusia bentuknya, lalu kera itu pula berasal dari mana dan yang mana itu nanti pula berasal dari mana? Ah, yang jelasnya teori Darwin amat bertentangan dengan Al-Quran, maupun Bible, tapi perlu difikirkan tanpa terus menolaknya sebab kita seharus belajar untuk berfikir.

Cuba saja kita perhatikan pernyataan sejarah Bible pula yang nyatanya paling bertentangan dengan ilmu pengetahuan adalah bahawa manusia pertama muncul pada 5762 yang lalu dan jikanya kita menerima kewujudan hujah-hujah yang mencegah kita dari menerima penegasan ini secara apa adanya; maka kita tidak bisa lagi menggunakannya sebagai satu tuduhan yang salah terhadap Bible di dalam konfrontasi antara sains dan kitab-kitab suci itu; Ia mesti ditempatkan di dalam konteks manusiawinya. Ah, sulit sangat untuk difikirkan hal yang bakal saya bicarakan ini. Memangnya sulit/tapi perlu kita ketahui.

Baiklah, kita tinggalkan dulu hal Teori Darwin dan kemudian pernyataan Bible seperti yang saya utarakan sebentar tadi yang sedikit masa dulu pernah dibahas oleh Dr. Mauribe Bucaille lewat bukunya yang berjudul ‘What is the Origin of Man? The Answers of Science and The Holy Scriptures’ terbitan Seghers, Paris, edisi ke-3 Disember 1984 dan sekarang harus pula kita bertanya apakah yang disebut agama dan apakah yang harus kita lakukan selama dalam hidup ini sehingga kita mati nantinya? Fikirkanlah!

Memang ramai sangat pula yang berkata bahawa setiap sesuatu apa saja yang hidup di dunia ini, baik cepat atau lambat akhirnya akan mati jua. Nah, setelah mati, lalu apa pula yang bakal terjadi? Setelah mati apa pula lanjutannya tentang kematian itu?

Memang setiap manusia awal kejadiannya tidak mengetahui sesuatupun. Memang begitu, tapi akal dan fikiran yang mengilhamkan ilmu bakal memberikan jawaban sebab bukankah Allah telah menyarankan kita untuk membaca dan menghitung alias mencari ilmu?

Siapakah Yang Maha Hidup dan Maha Pengasih dan Penyayang yang telah memberitukan sesuatu kepada kita? Nah, sebaiknya kita membaca dan memerhatikan satu persatu Kalam Ilahi yang telah dibukukan di dalam Kitab suci al-Quraanul Karim. Pertamanya teliti ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi di Gua Hira!

Lewat surah Al-Baqarah 117 telah dinyatakan bahawa Allah Pencipta langit dan bumi dan Apabila Dia berkehendak sesuatu maka cukuplah Dia hanya mengatakan “jadi, lalu jadilah ia” dan kemudian Allah berfirman lagi bahawa kata-Nya “Sesungguhnya Kami telah mencipta manusia dari tanah liat yang kering yang berasal dari Lumpur hitam, yang diberi bentuk, tetapi kami telah mencipta Jin sebelum manusia dari apa yang sangat panas lagi beracun”(Rujuk Q al-Hijr 26-29).

Maka apabila Allah mencipta manusia yang dinamakan Adam, lalu Allah memerintahkan semua malaikat sujud kepada Adam, maka para Malaikat pun sujud kecuali Iblis. Iblis menyatakan tidak akan sujud kepada Adam atas sebab kejadian dirinya kononnya lebih baik dari Adam.

Ketika itulah Allah amat murka dan segera menghalau Iblis dari syurga kerana akibat sombong, takbur dan tak mahu sujud terhadap Adam seperti yang diperintahkan-Nya dan kerana itulah Allah tidak suka kepada manusia yang sombong dan takbur akibat kekayaannya/pangkatnya/mercedesnya dan segala macam.

“Iya, Tuhanku oleh sebab Engkau telah menulis aku sebagai tersesat, maka aku akan menjadikan manusia memandang baik kepada perbuatan maksiat kecuali mereka yang mukhlish atau yang diberi taufiq dan nur hidayah untuk mentaati perintah Allah,” Kata Iblis dan sejak itulah ia mula mempengaruhi Adam dan Hawa untuk memakan buah larangan di dalam syurga sehingga kedua-duanya terpujuk.

Akibat terpujuk itulah Adam dan Hawa tampaklah bagi kedua-duanya aurat dan mulailah kedua-duanya menutupi dengan daun syurga dan akhirnya oleh sebab Adam dan Hawa tidak memperdulikan larangan Allah dan terpunjuk rayuannya Iblis, maka Allah memutuskan untuk menghantar kedua-duanya ke dunia untuk menjadi pemimpin yang dinamakan Khalifah.

Al-kisah maka setelah Adam dan Hawa diterima taubatnya oleh Allah, lalu kedua-duanya pun dibawa oleh malaikat Jibrail turun ke bumi dengan keadaan tertutup auratnya iaitu ketika menjelangnya fajar subuh di hari jumaat.

Kononnya Adam diturunkan di Bakkah, iaitu lembah genangan air mata, sementara Hawa pula di Bab El-Mandab, iaitu pintu air mata, tapi sebahagian ulama pula menjelaskan bahawa Adam diturunkan di suatu tempat yang berbukit yang letaknya di Benua India dekat Sailon, sedang Hawa pula diturunkan jauh terpisah dari Adam.

Mungkin saja oleh kerana Teluk Persi pada waktu itu belum ada, maka terdapat dua riwayat yang berbeda, tapi yang jelas sesudah itu/maksudnya setelah melihat dan merasakan kedahsyatan alam, hutan belantara, angin badai atau barangkali gempa bumi dan sebagainya.

Maka secara tidak langsung datanglah rasa takut yang mencekam pada diri Adam dan kala itu telah timbul bayangan kesusahan hidup di dunia sambil ia membanding-bandingkan keadaan di dunia yang serba payah dengan keadaan yang aman, senang, bahagia senantisa kehidupannya di syurga sebelum diturunkan ke bumi.

Kemudian Adam dalam keadaan yang susah itu teringat ia kembali akan peringatan Allah sebelumnya, lalu beliaupun bersujud sungguh-sungguh dan di dalam sujud itu ia menangis tersedu-sedu, mengharapkan sangat pertolongan Allah dan beliau pun memohon perlindungan dan rahmat Allah, sementara Hawa yang terpisah jauh pun melakukan perkara yang sama.

Iya, diceritakan/ menurut sejarah/ hadis dan penulis dahulu kala bahawa setelah 50 tahun yang kedua-duanya terpisah, atas berkat kemurahan Allah, maka kedua-duanyanya pun diketemukan kembali dan pertemuan itu berlaku di Arafah yang kira-kira 50 km jauhnya dari Mekkah yang ada di tanah Arab.

Kalau tidak silap saya Arafah dalam bahasa Arab bermaksud tempat pertemuan/tempat berhimpun yang merupakan sesuatu yang penting dan harus saja dilaksanakan oleh sesiapapun yang menunaikan seruan haji.

Oleh sebab Adam merupakan manusia pertama yang menerima petunjuk dan rahmat Allah, serta dinaikkan pangkatnya menjadi Nabi di sisi Allah dan jika di dalam syurga beliau diberikan peraturan seperti tidak mendekati/memakan buah larangan, maka di dunia juga demikian dan peraturan itu adalah berdasarkan/berpokok pangkal dari ajaran keEsaan Allah yang dinamakan Agama. Tak perlulah saya jelaskan makna agama itu kerana kalian sendiri tahu/malah lebih dari tahu.

Nabi Adam yang dikuburkan di Mekah dan Hawa pula di Jeddah sebenarnya mempunyai 41 orang putera dan puteri di mana semuanya kembar kala dilahirkan oleh Hawa kecuali Sits yang meninggal ketika berusia 912 tahun. Anak pertama mereka bernama Qabil yang kembar dengan Iklima, sementara Habil kembar dengan Lahuda. Suatu hari timbul perselisihan faham antara Qabil dan Habil akibat cinta/jodoh perkahwinan.

Diwahyukan oleh Allah supaya Qabil bernikah dengan Lahunda, sedang Habil dengan Iklima. Qabil tidak bersetuju tidak alias tidak puas hati kerana dikatanya yang Lahunda tidak cantik yang mungkin atas pengaruh syaitan/iblis dan ia kemudian berkelakuan sombong, takbur dan bersikap membangkang perintah kedua-dua orang tuanya yang bermakna membangkang perintah Allah Yang Maha Berkuasa.

Allah kemudiannya memerintahkan untuk mereka berkorban dan ternyata korban Habil diterima kerana ikhlas di mana kesudahannya Habil tetap memiliki Iklima dan Qabil tetap menolak untuk dijodohkan dengan Lahunda dan akhirnya timbul dugaan jelek atau buruk sangka Qabil kepada kedua-dua orang tuanya dan akibat dengki maka ia membunuh Habil pada usia Adam 120 tahun (Rujuk Q/al-Maidah-27-31)

Apabila Habil dibunuh, maka Allah menyuruh seekor burung gagak mengali-gali bumi, memperlihatkan kepada Qabil bagaimana seharusnya ia menguburkan mayat saudaranya itu sendiri dan peristiwa itu membuka akal, mendatangkan inspirasi kepadanya iaitu cara penguburan itu yang dilakukan oleh buruk gagak itu ditiru pula oleh Qabil dan sejak itulah terdapat kuburan manusia pertama di dunia.

Seperti yang dinyatakan bahawa Nabi Idris adalah keturunan Nabi Sits yang merupakan Putera Nabi Adam yang lahir secara tidak kembar dan Nabi Nuh yang berusia 950 tahun adalah keturunan Nabi Idris. Nabi Nuh dipercayai pernah dikatakan/diperli sebagai kurang siuman akibat membena perahu di atas gunung Ararat yang terletak di perbatasan Negara Rusia-Turki-Iran yang tingginya 5,136 meter di atas permukaan laut.

Isteri Nabi Nuh dan seorang anaknya yang bernama Kan’an tidak mentaati Rasulullah. Mereka termasuk yang ikut mendurhakai Allah dan rasul-Nya/lalu ikut mati tenggelam di telan banjir besar kala itu dan putera-putera Nabi Nuh yang hidup terdiri dari Ham yang berpindah ke Afrika yang melahirkan keturunan orang-orang Negro.

Yafit pula berpindah ke Eropah dan melahirkan keturunan orang-orang Eropah, manakala puteranya yang bernama Sam yang merupakan yang tertua terus/tetap tinggal di Asia dan melahirkan keturunan bangsa Asia.

Nah, demikianlah sejarahnya asal usul manusia yang sekarang ini bertebaran di mana-mana dalam dunia. Jadi, berdasarkan apa yang dinyatakan di atas bermakna yang kita ini adalah bersaudara, samaada anda berbangsa Kadazan/Dusun, Iban, Brunei maupun Dayak dan segala macam yang berbagai agamanya. Pokoknya kita ini adalah keturunan Adam dan Hawa dan telah dinyatakan yang Adam dipercayai berusia 930 tahun.

No comments:

Post a Comment