Tuesday 24 May 2011

MPS ANTI ISLAM?



Oleh : KRANGKANG BATRUSI

PAS Sabah menasihatkan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) agar menghentikan segera ancaman untuk menghentikan operasi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) milik PAS yang telah ditubuhkan sejak 25 tahun yang lalu secara sah menurut Perlembagaan PAS Fasal 6 (2).

“Saya menasihatkan MPS supaya menghentikan tindakan yang sia-sia ini dan bertindak mengikut lunas demokrasi serta undang-undang yang sedia ada,” demikian tegas Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Tuan Hj Hamzah Abdullah.

Haji Hamzah merujuk kepada notis yang dikeluarkan oleh MPS bertajuk “Notis menghentikan operasi taska PASTI” yang bertarikh 23 Mei 2011 dengan nombor rujukan MPS:200-00/031/0004/007/. Notis ini menuntut supaya PASTI menghentikan operasinya serta-merta.

Tegasnya lagi, PAS tidak akan menghentikan operasi PASTI kerana kewujudannya adalah sah serta memberi manfaat kepada masyarakat dalam membentuk peribadi Muslim dan ini adalah isu lama yang telah selesai sejak lebih 20 tahun lalu.

Kata Hamzah, PASTI adalah sah dan berdaftar di bawah Dewan Pemuda PAS Pusat serta dihalalkan oleh perlembagaan parti. Bagaimana mungkin perlu menghentikan operasi PASTI sedangkan ia merupakan salah satu aktiviti parti yang disebut di dalam perlembagaan PAS.

“Apakah MPS Anti-Islam dan mencabul Perlembagaan Persekutuan? Sewajarnya MPS bertindak menutup Pusat-Pusat Maksiat yang telah banyak menjerumuskan remaja Muslim ke lembah maksiat dan keruntuhan moral,” sambungnya lagi.

No comments:

Post a Comment