Tuesday 17 May 2011

NAIKTARAF PRASARANA PELANCONGAN SEMPORNA!



MENTERI Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon kerjasama agensi pelancongan peringkat negeri dan persekutuan supaya meningkatkan lagi prasarana pelancongan di Semporna.

Beliau berkata usaha seperti itu perlu bagi memastikan kelebihan Semporna sebagai lokasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara dapat dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja untuk negeri dan negara malah penduduk tempatan daerah itu.

"Kita sedar dan tahu Semporna terkenal bukan sahaja di rantau ini tetapi di seluruh dunia. Semua orang tahu Pulau Sipadan sebagai pusat selaman bertaraf dunia. Jadi kita mohon kerjasama agensi pelancongan negeri dan persekutuan supaya tingkatkan prasarana yang ada," katanya.

Shafie yang juga Naib Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian Semporna berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Umno Bahagian Semporna di sini pada hari Selasa.

Menurut Shafie banyak aspek berkaitan prasarana sektor pelancongan di daerah itu yang masih boleh ditingkatkan termasuk kraftangan yang mampu memberi manfaat kepada penduduk tempatan termasuk golongan belia.

Beliau juga meminta kerjasama kerajaan negeri Sabah supaya mempercepatkan proses pemberian geran tanah bukan sahaja untuk penduduk daerah Semporna tetapi di daerah-daerah lain di negeri itu.

Beliau berkata isu geran tanah berkenaan merupakan salah satu rungutan yang sering dikemukakan penduduk kepadanya setiap kali turun padang. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment