Monday 9 May 2011

PAIRIN SOKONG PENUBUHAN KG KDM DI LABUAN



TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan menyokong penuh cadangan penubuhan kampung Kadazandusun Murut di Labuan, berikutan peningkatan populasi komuniti itu di pulau ini.

Pairin yang merupakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun berkata penubuhan kampung itu juga selaras dengan konsep 1Malaysia.

"Jika ada tanah kita akan peruntukkan. Tidak ada salahnya dengan cadangan itu," katanya mengulas usul tersebut di sini.

Pairin berkata beliau juga sedia bertemu dengan Anggota Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal bagi membincangkan perkara berkenaan.

Yusoff sebelum ini memberitahu Bernama usaha sedang dilakukan bagi membangunkan sebuah kampung untuk komuniti Kadazandusun dan Murut di Labuan.

Cadangan itu yang diusul Persatuan Kadazandusun Murut akan dibentang kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk dipertimbangkan, katanya.

Buat masa ini terdapat kira-kira 5,000 keturunan Kadazandusun dan Murut yang tinggal seluruh Labuan (Bernama).

No comments:

Post a Comment