Saturday 28 May 2011

PARLIMEN BELIA AKAN WUJUDKAN




DATUK Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan mewujudkan Parlimen Belia bagi mengetahui pandangan, cadangan dan citarasa golongan belia di negara ini.

Perdana Menteri berkata wakil pemimpin belia dalam Parlimen tersebut terdiri daripada mereka yang dipilih oleh golongan belia itu sendiri.

"Syarat umur (wakil belia dalam Parlimen itu) mungkin bawah 40 tahun," katanya ketika merasmikan Himpunan Sejuta Belia sempena Hari Belia Negara 2011 di sini.

"Para belia (boleh) memilih wakil mereka, boleh membahas usul-usul, boleh membuat cadangan dan kerajaan akan memberi pertimbangan yang sebaik-baiknya terhadap cadangan-cadangan itu," kata Najib.

Perdana Menteri berkata penubuhan Parlimen itu merupakan salah satu daripada enam inisiatif oleh kerajaan untuk mengiktiraf peranan dan sumbangan golongan belia.

Sebagai bakal pemimpin, beliau berkata kerajaan juga akan memperkenalkan konsep mentor-mentee kepada belia dalam beberapa bidang termasuk keusahawanan, sektor awam, aktiviti sosial, industri, kreatif dan profesional.

Selain itu, beliau berkata kerajaan akan memperkenalkan khidmat sukarelawan, portal belia, ikon remaja dan mewujudkan 'youth park' di sekitar Putrajaya.

Himpunan belia yang bermula semalam dan berakhir esok, menampilkan lebih 200 acara dan program bagi golongan belia seperti sukan, kreativiti, seni dan sukan lasak. Mengenai perhimpunan itu, Najib berkata beliau berpuas hati dan yakin sasaran menghimpunkan sejuta belia akan tercapai.

Sehubungan itu, Perdana Menteri menyasarkan kehadiran dua juta belia pada perhimpunan tersebut tahun depan.

Beliau berkata sambutan yang begitu menggalakkan itu berbanding tahun lepas, menunjukkan bahawa belia di negara ini mahukan keamanan dan bukan berhimpun untuk menjatuhkan kerajaan seperti yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.

"Saya percaya kita boleh tunjuk kepada dunia negara aman dan stabil. Kita tidak bergolak. Apa yang berlaku di Mesir dan Tripoli itu soal negara lain.

"Negara kita, milik kita dan para belia hari ini tahu bahawa masa depan mereka bergantung kepada kejayaan dan pelan transformasi negara," katanya. Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa bekerja keras demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan belia kerana mereka merupakan pemangkin kepada transformasi yang dilakukan oleh kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Najib berkata sambutan yang menggalakkan itu juga mencerminkan sokongan golongan belia terhadap kerajaan dan tidak sanggup melihat Putrajaya, yang merupakan pusat pentadbiran negara, jatuh ke tangan pembangkang. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment