Sunday 15 May 2011

PBTM PELAWA BEKAS PERAJURIT JADI AHLI



Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID

PERSATUAN Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Daerah Keningau diseru agar meningkatkan usaha menambah keahlian untuk menyertai PBTM dan Beliawira di daerah ini.

Yang Dipertua PBTM Bahagian Negeri Sabah, Sanon Haji Sapari (gambar) berkata Keningau merupakan antara daerah di negeri ini mencatat jumlah bekas tentera yang ramai belum menggangotai PBTM.

Justeru, tepat pada masanya warga bekas tentera bersatu dalam PBTM bagi menjamin kebajikan mereka dapat diselaras dan dilaksana secara berkesan menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Kementerian Pertahanan Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada wartawan selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PBTM Cawangan Keningau di Keningau baru-baru ini.

Menurutnya, meningkatkan jumlah keahlian dan urus tadbir persatuan yang cekap merupakan antara elemen penting yang mampu menjamin masa depan para ahli yang menganggotainya.

Sanon berkata, selain isu kebajikan ahli, usaha proaktif dalam kalangan ahli sedia ada itu juga merupakan langkah terbaik membangunkan sumber ekonomi seterusnya membebaskan mereka dari terus dibelenggu sumber pendapatan yang tidak menentu.

Dalam perkembangan lain, PBTM Bahagian Negeri Sabah turut memberi sokongan penuh kepada Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi atas keprihatinan beliau memperjuangkan Akta Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini dalam proses kelulusan di Parlimen; antara lain memperuntukkan faedah dan bantuan bagi memberi jaminan membela kebajikan dan nasib veteran ATM di negara ini.

Sehubungan itu, mengingatkan kepada para ahli PBTM di daerah ini agar sentiasa menyokong dasar-dasar kerajaan yang terbukti sentiasa mendahulukan rakyat di samping mengutamakan pencapaian demi kelesterian pembangunan masyarakat negara ini tercapai secara holistik

No comments:

Post a Comment