Tuesday 17 May 2011

PEMUDA DAN WANITA PBRS SOKONG KURUP



Oleh: ROZIE JUMAT

PERGERAKAN Pemuda dan Pergerakan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian N.37 Sook yang mengadakan mesyuarat tergempar hari ini sebulat suara menyatakan sokongan penuh dan mempertahankan kenyataan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkenaan dengan menolak kenyataan terbuka Naib Persiden UMNO Datuk Zahid Hamidi meminta kawasan Parlimen Pensiangan diberikan kepada parti itu (Umno) di masa yang akan datang.

Pengerusi Mesyuarat, Kahirin Bador yang juga ketua Pemuda PBRS N.37 Sook berkata, parti Umno seharusnya menghormati kuota parti komponen BN di kawasan itu dan tidak mencabuli permuafakatan dalam BN dengan kenyataan sedemikian.

“Kami menyokong kenyataan Presiden PBRS yang parti ini tidak memaksakan diri untuk bersama BN jika perjuangan dan kesetiaan parti kami tidak dihargai,” kata Kahirin. Turut sama dalam mesyuarat tergempar gabungan itu ialah Ketua Pergerakan Wanita, Puan Sri Melinda Kurup.

PBRS diberikan kuota satu kerusi DUN (Sook) dan satu kerusi Parlimen (Pensiangan) namun sempena mesyuarat perwakilan UMNO P.182 Pensiangan yang dirasmikan oleh Naib Presiden Umno, Datuk Zahid Hamidi secara terbuka meminta kawasan Parlimen Pensiangan diberikan kepada Umno pada pilihanraya yang akan datang.

Malahan kata Kahirin, dengan kenyataan sedemikian, Zahid Hamidi telah memberikan harapan kepada parti itu (umno) dan jika ianya tidak akan menjadi kenyataan tetap akan memberi kesan kepada prestasi calon BN pada pilihanraya yang akan datang.

“Pemuda dan Wanita PBRS kesal dengan kenyataan tersebut kerana secara tidak langsung tindakan itu mengabaikan semangat setiakawan dan konsep perkongsian kuasa yang diamalkan oleh BN yang kita laungkan selama ini,” kata Kahirin.

Dalam pada itu Kahirin turut mencadangkan agar parti komponen BN di Sabah membentuk satu pakatan bersama (kecuali UMNO) bagi membincangkan pendirian parti berkenan dengan tindakan Umno yang menuntut kerusi atau kuota parti lain dalam komponen.

“Non Umno alliance ini berperanan untuk menangkis persepsi rakyat tentang sikap umno yang dilihat seperti membuli parti komponen yang lain atas tindakan mereka yang membelakang dan seakan tidak menghormati parti yang diberi kuota dalam kawasan itu,” ujar Kahirin.

“Ini menampakkan bukan sahaja PBRS dilihat dibuli oleh Umno dengan kenyataan terbuka meminta kawasan tertentu yang diwakili tetapi terdapat beberapa kawasan yang dimiliki oleh parti lain turut diminta oleh umno, kita tidak mahu ini melemahkan rakyat di kawasan kita” katanya.

SOKONG….Sebahagian Pergerakan Pemuda dan Wanita PBRS Sook menyokong kenyataan Presiden PBRS dalam satu mesyuarat bersama.

Tambah Kahirin, Pendirian Pergerakan Pemuda dan Wanita bertegas mahukan penambahan kerusi bukannya pengurangan kerusi.

“PilihanRaya Ke 13 mungkin bakal diadakan bila-bila masa. Permintan seumpama ini (secara terbuka meminta kerusi kuota parti komponen) serta harapan yang diberikan oleh pucuk pimpinan umno pusat bakal mencetuskan suasana yang akhirnya merugikan BN di kawasan ini. Sekaligus menjejaskan kapal BN secara keseluruhannya dengan tindakan sabotaj. Sejarah itu kita lihat di Semenanjung,” jelas Kahirin.

“Kami tetap mempertahankan kerusi PBRS yang ada sekarang iaitu DUN Sook dan Parlimen 182 Pensiangan,” tegasnya.

Kata Kahirin, PBRS juga adalah penyumbang sebagai akaun tetap BN di negeri ini.

Sebagai rujukan kata Kahirin, jumlah keahlian PBRS di DUN Sook berjumlah 14 ribu ahli tidak termasuk N.38 Nabawan. Ini bermakna, jumlah keahlian PBRS di Pensiangan lebih ramai berbanding keahlian Umno Pensiangan sebanyak 11 ribu sahaja.

No comments:

Post a Comment