Sunday 15 May 2011

PEMUDA UMNO GESA SERTAI ASKAR WATANIAH



AMANAT…Jamawi ketika menyampaikan ucapan di majlis perjumpaan tersebut.

Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID

GOLONGAN belia khususnya di luar bandar daerah Tenom digesa menyertai askar wataniah jika masih belum terlibat dalam mana-mana persatuan beruniform.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, penyertaan itu akan menghindarkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat.

Katanya, bilangan belia yang menyertai askar wataniah masih lagi kurang sedangkan daerah ini mempunyai jumlah belia yang ramai.

“Apa yang paling penting, langkah ini dapat menyuntik semangat patriotik dalam jiwa mereka selain mengisi masa terluang dengan perkara yang berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perjumpaan dan ramah mesra bersama anggota askar Wataniah dekat sini kemarin

Jamawi berkata, penerangan dan penjelasan mengenai askar wataniah perlu dilakukan secara lebih aktif bagi menarik lebih ramai remaja yang merupakan golongan sasar.

SEMANGAT….Jamawi (tengah) bersama Pegawai dan anggota askar Wataniah Tenom menunjukan isyarat 1 Malaysia di majlis perjumpaan tersebut.

Sejajar dengan itu, katanya, penubuhan Kompeni Askar Wataniah bukan sahaja di Tenom tetapi di seluruh negara adalah satu langkah yang tepat sekali.

“Kita harap golongan belia di setiap daerah khususnya di daerah ini menyertai askar wataniah. Penyertaan ini merupakan bukti kasih dan setia mereka untuk menyumbang khidmat mempertahankan negara,’’ katanya.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom berkata, dengan cara itu mereka akan menyedari tanggungjawab menjaga keamanan negara bukan dipikul pihak berkuasa semata-mata.

Menurutnya, difahamkan 125 daripada 222 kawasan Parlimen sedang dalam proses untuk menubuhkan kompeni tersebut secara berperingkat dan dijangka selesai pada 2011.

No comments:

Post a Comment