Saturday 28 May 2011

PENDIDIKAN UBAH DESTINASI HIDUP



1MALAYSIA….Haji Ghulabdin (tengah) sedang menunjukkan isyarat tangan melambangkan ‘1Malaysia’ bersama sebahagian guru SK St John, Tuaran.

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

KERJASAMA yang erat di antara pengurusan sekolah dengan ibubapa boleh menjana banyak kebaikan yang secara langsung membantu melakarkan kecemerlangan dalam melahirkan pelajar berilmu, yang akan menjadi pewaris terhadap pimpinan negara pada masa hadapan.

''Para guru sesungguhnya amat komited dalam menjalankan tugas memberikan pendidikan teradap anak-anak kita di sekolah, namun apakah kita sebagai ibubapa akan semata-mata bergantung sepenuhnya teradap guru menjayakan tanggungjawab itu? Alangkah baiknya jika ibubapa juga mempunyai keprihatinan tinggi terhadap kemajuan pendidikan anak mereka dengan mengawasi pembelajaran dan disiplin mereka ketika berada di rumah.''

Pengerusi Persatuan Ibubapa dan Guru PIBG SK ST John Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Majlis RIMUP, Hari Guru dan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat SK St John Tuaran baru-baru ini.

Haji Ghulabdin mengharapkan kerjasama memacu kecemerlanan pendidikan di sekolah itu wajar berterusan agar keinginan memberikan pelajaran yang setinggi-tingginya kepada anak-anak dapat dijayakan supaya kejayaan itu boleh menentukan hala tuju dan masa depan mereka dapat terjamin.

“Saya amat yakin bahawa pendidikan boleh merubah destinasi setiap insan dan sewajarnya kesusahan setiap keluarga pada peringkat awal akan dapat dibahagiakan jika sesebuah keluarga itu berjaya dalam pelajaran, yang akhirnya melepaskan mereka dari belenggu kesusahan dan kemiskinan,” kata Haji Ghulabdin yang percaya jika kesepaduan semua pihak dapat diaplikasikan menerusi persefahaman, maka kecemerlangan pendidikan dapat dijayakan.

Selain itu beliau juga berbangga kerana SK St John Tuaran adalah juga merupakan gedung yang telah berjasa melahirkan banyak insan yang mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang termasuklah memegang jawatan penting dalam perkhidmatan kerajaan, ahli perniagaan dan ahli politik yang terkenal.

Sehubungan itu, Haji Ghulabdin berharap agar ibubapa memberikan perhatian sepenuhnya kepada pembelajaran anak-anak dengan mengunakan pelbagai peluang serta kemudahan yang disediakan kerajaan, termasuklah bantuan yang dapat meringankan bebanan ibubapa seperti pemberian pakaian seragam sekolah, bantuan berupa wang kepada pelajar miskin dan penyediaan prasarana yang baik semata-mata untuk memberikan keselesaan kepada pelajar.

Majlis yang diadakan untuk memupuk perpaduan warga SK St John Tuaran turut dihadiri Guru Besar, Helen Gasat; Pengerusi Penganjur, Lucia Bian; Penolong Kanan, Zita Peterus dan Ali Jawatankuasa PIBG Ismail Ensun.

Pelabagai acara telah diadakan untuk memeriahkan majlis RIMUP, Hari Guru dan Perayaan Pesta Kaamatan seperti Deklamasi pelbagai Bahasa yang dijayakan oleh guru guru, persembahan Tarian dan cabutan tiket bertuah.

Sementara itu, dalam pertandingan pakaian tradisi peringkat guru-guru telah dimenangi oleh Guru Besar, Helen Gasat dan Juannis Massamin sementara bagi peringkat ibubapa telah dimenangi oleh Ismail Ensun dan Siti Ajura Haji Awang Ahmad.

No comments:

Post a Comment