Monday 30 May 2011

PENDUDUK KUALA TOMANI DAHAGAKAN AIR



MENYEDIHKAN... Sumber air minum dan mandi di sungai yang deras dan keruh.

Oleh : MEDIA PBS

PARA penduduk Kampung di sekitar Kuala Tomani, Tenom mendesak Kerajaan Barisan Nasional membina Skim Bekalan Air di kampung mereka setelah menderita pelbagai penyakit bawaan vektor dan kulit kerana menggunakan air sungai yang tidak terawat.

Ketua Kampung KK Bunsilou Latif, yang mewakili penduduk di sekitar Kuala Tomani seperti Rolok, Tantalifon dan Manas merayu ehsan Perdana Menteri yang akan melawat Tenom pada 11 Jun ini agar memberi sedikit perhatian terhadap penderitaan mereka yang hanya menggunakan bekalan air graviti, tercemar dan tidak pernah menikmati bekalan air bersih sejak merdeka 48 tahun lalu.

Menurut KK Bunsilou, pihaknya telahpun beberapa kali membuat aduan rasmi dan menulis surat rayuan kepada pihak terbabit, tetapi sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil.

“Pertambahan rumah tidak lagi mampu menampung keperluan air untuk kegunaan domestik. Penduduk Tantalifon pula terpaksa mengambil air dari Sungai Padas menggunakan baldi atau gelen berulang-alik,” kata KK Bunsilou.

KARAT…..Tangki air berkarat tempat menyimpan air hujan untuk kegunaan dapur.

Manakala seorang penduduk Tantalifon, Andin Ambaris berkata aliran air sungai Padas sangat deras, keruh dan berbahaya; malah pernah meragut beberapa nyawa semasa mereka mandi, terutama keselamatan kanak-kanak yang langsung tidak terjamin kerana mereka terpaksa membantu keluarga mengangkut air untuk kegunaan mereka.

Andi memaklumkan terdapat lebih 45 buah rumah di kawasan berkenaan namun tidak semua mendapat bekalan elektrik sedangkan kampung mereka tidak sampai satu kilometer daripada Kuala Tomani yang mendapat bekalan daripada grid.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian PBS Kemabong, Sabini Ansumor, yang melakukan lawatan kerja di tempat berkenaan mengesahkan masalah tersebut memang benar berlaku dan menggesa agar Kerajaan Negeri segera mengatasi masalah yang dideritai penduduk kampung berkenaan.

BELA…..Mereka dambakan pembelaan dan kemajuan seperti kampung lain.

Menurut Sabini, kegagalan berbuat demikian akan mencacatkan slogan 'Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.' Beliau turut menolak kemungkinan kerajaan pilih kasih sebaliknya melihat kelemahan ini dari aspek pentadbiran setempat.

"Saya tidak mahu ada pihak terlepas pandang tentang kemudahan asas seumpama ini. Sebelum kita mencantikkan prasarana, kita kena jaga dahulu kebajikan asas dan tingkatkan ekonomi penduduk," tegasnya.

No comments:

Post a Comment