Wednesday 11 May 2011

PENDUDUK RUNDUM TOLAK GERAN KOMUNAL



Oleh: MEDIA SAPP TENOM

KERAJAAN seharusnya mencari formula yang lebih sesuai dan terpakai oleh penduduk kampung jika pemberian geran tanah ke atas bekas tanah-tanah adat (NCR) di kawasan mukim Rundum selain Geran Komunal (Communal Title); seperti yang disarankan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman sebelum ini.

Meskipun hasrat kerajaan itu disambut baik oleh para penduduk terbabit, namun kebanyakan daripada mereka, khususnya di Kg Sumambu, Kg Kapulu dan Kg Katubu tidak bersetuju status pemberian geran komunal.

Ketua Daerah Mengundi SAPP kawasan Katubu dalam Mukim Rundum, John Lukap, 49, berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net pada selasa; selaku bagi pihak penduduk terbabit (Kg Sumambu) untuk meluahkan bantahan mereka jika geran komunal diteruskan juga.

John seterusnya menegaskan, mereka bimbang hak untuk mengusahakan tanah yang diperuntukkan kepada seseorang akan menjadi kecoh dan kemungkinan akan berlaku pertikaian sempadan yang tidak menentu termasuk juga jumlah keluasan pemilikan bagi seseorang.

“Ramai yang bimbang dengan hak mereka ke atas tanah yang diberi kerana ia cuma ada satu geran dan bukan masing-masing pemilik ada geran tanah. Bererti tanah yang diberi kepada kami belum tentu sah kamilah pemiliknya,” tegas John.

“Kenapakah kami tidak diberi kebebasan untuk mendapatkan geran hak milik masing- masing dan kalaupun kerajaan bimbang bahawa tanah-tanah itu kemungkinan akan dijual kepada pemaju luar, itu tidak mungkin akan berlaku jika kerajaan mengawal tanah itu dari dijual haknya kepada pemaju luar,” tambah John lagi.

Beliau seterusnya berkata, pemberian tanah-tanah bekas NCR dalam kawasan Hutan Simpan kepada rakyat khususnya penduduk jati mukim Rundum; akan lebih bermakna untuk dimanfaatkan oleh rakyat di situ terutamanya dari aspek meningkatkan sosio ekonomi, jika setiap penerima itu dikeluarkan geran secara berasingan (masing- masing).

Kenyataan John timbul ekoran hasrat kerajaan seperti yang telah diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman semasa Pesta Kalimaran di Tenom baru-baru ini bahawa kerajaan sudah bersedia mengeluarkan tanah tanah NCR yang ada dalam kawasan Hutan Simpan ditukar status sebagai tanah kerajaan dan diberi kepada rakyat di kawasan yang berhak menuntutnya.

Namun Ketua Menteri itu telah membayangkan bahawa sistem pemberian geran komunal dijangka akan digunapakai untuk membendung kegiatan menjual hak tanah tersebut kepada pelabur luar yang akan merugikan mereka.

No comments:

Post a Comment