Thursday 5 May 2011

PENEROKA LIGS DESAK CAMPURTANGAN KM



DEMO…. Lampag bertanda (x) bersama para peneroka memprotes tindakan segelintir kakitangan LIGS Lagud Sebrang yang meneruskan kegiatan pecah amanah.

Oleh: BENEDICT YUSON

PENEROKA Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Lagud Sebrang, Tenom, meminta Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Haji Aman campur tangan untuk menyelesaikan isu tertunggak pecah amanah oleh beberapa kakitangan LIGS di Tenom yang berlaku sekitar tahun 2009, supaya pihak terbabit diheret ke muka pengadilan dengan sewajarnya.

Jikalau LIGS masih bersikap berlembut dan tidak menunjukkan ketegasan dalam perkara yang melibatkan penyelewengan dan pecah amanah, ia seakan-akan tiada penghujungnya kerana mereka yang terbabit masih juga meneruskannya meskipun masalah mereka telah sampai ke pengetahuan pihak pusat.

Jurucakap bagi pihak para peneroka, Lampag Kurias, 61, berkata demikian ketika memberitahu Sabahkini.net kelmarin sejurus selepas berkumpul di hadapan Stesen LIGS Lagud Sebrang secara aman.

Tindakan kira-kira lebih 20 orang peneroka itu sebagai memprotes tindakan segelintir kakitangan LIGS yang terlibat dengan kegiatan pecah amanah kerana mereka menggunakan hasil penjualan harian susu getah (latex) yang sepatutnya adalah milik LIGS tetapi ‘masuk poket’ sendiri bagi mereka yang terlibat.

Lampag berkata, beliau kesal kerana selepas sahaja Pengurus Besar yang lama (David Ng) dipindahkan ke tempat lain dan tempatnya digantikan pula oleh bekas pesara (Harris Matthew) menyebabkan kes tersebut seolah-olah sudah selesai kerana selama ini ia tidak pernah disebut-sebut lagi.

“Kami mahu keadilan berjalan dengan betul kerana kami sudah lebih 20 tahun menjaga harta benda LIGS sebagai peneroka supaya LIGS benar-benar mendapat keuntungan hasil titik peluh kami. Tetapi kenapa pula ada segelintir yang cuba mengambil kesempatan mengaut hasil secara haram,” tegas Lampag.

“Kami bukan dengki dengan kegiatan mereka tetapi kita mahu melihat LIGS benar benar mendapat menfaat daripada sumbangan titik peluh peneroka supaya LIGS boleh membantu membaiki infrastruktur perumahan dan jalanraya peneroka yang rosak teruk,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, dakwaan penyelewengan dan pecah amanah telah pun dilaporkan oleh para peneroka sekitar tahun 2009 apabila beberapa kakitangan yang terlibat termasuk Pengurus Stesen telah pun diambil tindakan, tetapi keadaan kes itu telah berubah apabila rombakan struktur pengurusan telah berlaku di awal tahun 2011.

Melihat kepada situasi itu, menyebabkan ramai peneroka yang dahulunya tidak berpuas hati dengan tindakan itu kini bangkit semula untuk memprotes tindakan segelintir kakitangan terbabit dengan melancarkan beberapa tindakan agresif termasuk berpiket secara aman.

Apa yang pasti, mereka mahukan suatu kesinambungan tindakan ke atas beberapa kakitangan yang sebahagiannya telah pun digantung kerja tetapi kini telah dibebaskan menjadikan para peneroka merasa marah dan tidak berpuas hati dengan cara LIGS pusat menangani masalah tersebut.

No comments:

Post a Comment