Tuesday 31 May 2011

PINANGKAU MUNDUR, SALAH SIAPA?



PRIHATIN….James bersama salah sebuah keluarga penduduk kampung berkenaan.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TERDAPAT kira-kira 70 peratus penduduk Kampung Pinangkau Paitan, Sugut masih dihimpit dan dibelenggu dalam kancah kemiskinan dan mereka ini perlu mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan, khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri Sugut dan juga Ahli Parlimen Beluran.

Senario ini cukup jelas dan boleh dilihat dengan mata kasar bahawa penduduk di kampung ini hidup dalam keadaan daif, seolah-olah Malaysia masiah diperintah Jepun kerana kebanyakan ‘mahligai’ penduduk kampung berlantaikan kayu, berdindingkan kulit kayu dan berbumbungkan atap rumbia.

“Saya berani menyatakan demikian kerana saya pergi sendiri ke kampung berkenaan bersama wartawan Sabahkini.Net untuk meninjau dengan lebih dekat lagi dan berkongsi penderitaan dengan mereka,” kata Ahli Jawatankuasa Bahagian UMNO Beluran, James dengan nada agak pilu dan sebak menahan emosi.

Dalam kunjungan singkat tersebut, James sempat menziarahi dua keluarga miskin tegar iaitu John Sambun, 63, dan isterinya Jauyah Puyon, 60; keluarga kedua, Tokirit Eingaung, 65, suami kepada Lija Sambun, 55.

USANG....James mencadangkan agar rumah ini digantikan dengan rumah PPRT atau PBR yang lebih selesa.

“Saya berasa amat sedih sekali kerana dalam usia senja dan uzur terpaksa menyara kehidupan mereka sebagai penoreh getah di kebun orang dengan pendapatan yang tidak berbaloi,” jelas James yang juga Ahli Majlis Daerah Beluran.

Tegas James, beliau mendedahkan perkara ini kepada media bukan bermaksud untuk memalukan ADUN mahupun Ahli Parlimen, tetapi ikhlas memperjuangkan nasib penduduk miskin yang tidak mempunyai saluran menyalurkan masalah mereka akibat kepincangan pentadbiran kerajaan.

“Mereka berhak mendapat pembelaan termasuk wang ehsan dan bantuan di bawah program E-Kasih atau 1Azam serta mendapat rumah PPRT kerana kehidupan mereka terlalu daif,” ujar James lagi.

Mujurlah jelas James, parti pembangkang belum berpeluang melawat ke kampung Pinangkau ini, jika tidak sudah pasti mereka akan memanipulasi isu ini demi survival politik mereka.

No comments:

Post a Comment