Tuesday 31 May 2011

PROGRAM ANAK ANGKAT KATALIS INTEGRASI



KENANGAN.......Keluarga Haji Ghulabdin (duduk tengah) mengabadikan gambar kenangan bersama anak angkat terdiri dari Hassan Jantan (KUALA LUMPUR); Nurenna Che Wan (Selangor); Nur Dayana Nor Hazem (Pahang) dan Mohammad Azrul Amir Hamzah (Kuala Lumpur).

Oleh : KREW SABAHKINI.NET

MAJLIS penyerahan kembali anak angkat integrasi anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sabah (JPNIN) yang telah diadakan di Tuaran bermula pada 27 Mei lepas meninggalkan kenangan manis yang amat sukar dilupakan; telah dilakukan oleh Pegawai Perpaduan Tuaran, Dausin Gingging kelmarin di Dewan Telipok Ria, Tuaran.

Ketika memberikan ucapan di majlis tersebut, Dausin mengharapkan kenangan manis yang telah terpahat di antara anak angkat dan keluarga angkat masing-masing semasa program itu berlangsung, sewajarnya dipupuk agar hubungan dan keakraban di antara penduduk negeri-negeri yang menyertainya akan berkekalan selamanya.

Beliau menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat untuk menjayakan sepanjang program tersebut diadakan di daerah ini, termasuklah kepada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Kota Tuaran, Haji Ghulabdin Enjih yang telah menganjurkan program Memasak Masakan Tradisi dan Program Penebusan masyarakat Jabatan penerangan Sabah; Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Perumahan Teliipok Ria dan KRT Kawasan Pekan Kiulu yang telah menjayakan Perayaan Pesta Kaamatan Perpaduan Peringkat Negeri di Dewan Masyarakat Kiulu.

Menurut Dausin, keseluruhan peserta anak angkat yang terlibat memberitahu tempoh selama 3 hari program itu tidak mencukupi dan kalangan mereka mencadangkan kepada JPNIN agar dipanjangkan tempohnya bagi membolehkan peserta intim berinteraksi dengan keluarga angkat.

“Saya mengharapkan peserta anak angkat yang datang dari Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan merasa gembira selama berada di daerah ini dan adalah diharapkan mereka telah dapat mempelajari sedikit sebanyak keunikan adat dan budaya penduduk tempatan; terutama apabila mereka sempat menyertai rakyat negeri ini merayakan perayaan Pesta Kaamatan,” kata Dausin lagi.

Sementara itu Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Kota, Haji Ghulabdin Enjih mengakui program itu telah dapat mengintegrasikan penduduk di antara negeri-negeri di negara ini dan boleh memberikan peluang kepada peserta terlibat menjalinkan persahabatan di antara mereka setelah program iini selesai dilaksanakan.

Haji Ghulabdin yang juga telah menjadi keluarga angkat kepada empat peserta yang terdiri daripada Hassan Jantan yang mewakili NGO wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur; Nur Dayana Nor Hazem yangg berasal dari Jerantut, Pahang Darul Makmur; Nurrena Che Wan yang merupakan Wartawan RTM Angkasapuri mewakili Negeri Selangor dan Jurukamera RTM Angkasapuri, Mohammad Azrul Amir Hamzah yang juga mewakili wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, beliau berharap JPNIN Sabah akan mengadakan program serupa dengan memberikan peluang kepada ahli-ahli KRT di negeri ini untuk menyertai program integrasi yang serupa untuk membolehkan penduduk di negeri ini mempelajari cara hidup dan budaya negeri lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan Negeri Sarawak.

Di akhir majlis penyerahan itu, kedua-dua pihak keluarga angkat dan anak angkat bertukar-tukar cenderakenangan sebagai tanda keakraban dan mengharapkan hubungan yang terjalin melalui program tersebut akan terjalin selamanya.

No comments:

Post a Comment