Sunday 8 May 2011

PUTERI SABAH SEDIA HADAPI PRU-13



Oleh: BERNAMA

AHLI-AHLI Pergerakan Puteri Umno Sabah diminta agar tidak berasa selesa dengan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini, sebaliknya melakukan persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata persiapan yang dimaksudkan tidak semestinya dengan berkempen bagi memenangkan calon, tetapi lebih kepada menggerakkan jentera parti dalam menangani apa juga isu dan permasalahan rakyat.

Katanya, selama ini kunci kepada kemenangan Umno dan BN sebelum ini ialah kewibawaan parti dalam membela nasib rakyat dan membawa kemajuan serta pembangunan kepada rakyat jelata.

"Kita semua perlu bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda parti. Usaha itu secara tidak langsung dapat mengukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad.

Menurut Rosnah, ahli-ahli Puteri Umno perlu berusaha dengan lebih giat turun padang bagi mendekati rakyat supaya dapat menyelami perasaan dan keperluan rakyat.

"Kita sebagai golongan muda tidak seharusnya tenggelam dengan dunia sendiri tetapi perlu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

"Dengan perjuangan ini yang jika dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh, saya penuh percaya parti Umno akan menjadi sebuah parti yang dekat dengan rakyat dan disayangi oleh rakyat," katanya lagi.

Rosnah berkata bagi mendekati golongan muda, ahli-ahli Puteri Umno mampu berbuat demikian dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan kegiatan yang bersesuaian, termasuklah memanfaatkan media baru dalam era siber hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga meminta agar seluruh ahli pergerakan itu meletakkan semangat kesetiaan kepada pemimpin pada tahap yang tertinggi kerana semangat itu penting dalam keadaan parti yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran baru.

No comments:

Post a Comment