Sunday 8 May 2011

RAKYAT PUTATAN TERPAKSA TUNGGANG KUDA?



Saudara Pengarang,

BARU-BARU ini, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga petrol Ron97 terutamanya di negeri Sabah. Walaupun tidak melibatkan minyak jenis Ron95, namun sedikit sebanyak mungkin penyebab kepada harga barangan akan meningkat.

Dalam keadaan gaji pekerja swasta masih lagi di tahap yang rendah dan ada yang di bawah paras kemiskinan, keadaan ini mengundang kepada pelbagai masalah dalam sesuatu keluarga terutama yang berada di kawasan bandar kerana perbelanjaan seharian sudah pasti akan meningkat.

Pagi ini, saya amat terkejut dan terkilan ketika ramai penduduk berpusu-pusu ke Pasar Putatan untuk membeli keperluan harian kerana hari minggulah, masanya untuk membeli sayur dan keperluan lain.

Saya juga turut mengunjungi Pasar Minggu Putatan yang penuh sesak dengan pengunjung. Hampir 10 minit saya berpusing keliling Pekan Putatan untuk mencari tempat letak kereta, namun semuanya penuh.

Sekarang ini, sudahlah minyak mahal, mana tahan berpusing-pusing sampai habis minyak semata-mata hendak membeli sayur dan ikan. Oleh itu saya dan pengunjung lain buat keputusan untuk meletakkan kenderaan di tepi jalan yang tidakpun mengganggu kenderaan lain untuk bergerak.

Memandangkan Putatan sudah menjadi daerah dan kita ingin bertanya, adakah pihak Majlis Daerah atau pihak yang berkenaan tidak membuat tempat letak kenderaan kerana seolah-olah Pekan Putatan hanya layak dikunjungi ‘Koboi’ yang menunggang kuda?

Perkara itu mungkin kita boleh terima lagi, tapi apa yang kita tidak boleh terima adalah kehadiran polis traffik yang bertindak menyaman kenderaan yang diletakkan di bahu jalan. Kita sedar memang salah kerana tempat berkenaan bukan khas untuk meletakkan kenderaan namun, sepatutnya pihak polis traffik perlu memberi pertimbangan kerana kawasan Pasar Putatan yang memang sempit.

Tidakkan semata-mata untuk ke Pasar Putatan, kami terpaksa meletakkan kenderaan di Servay yang mengambil masa lebih kurang 10 minit untuk berjalan kaki. Jika memang ada penyelesaiannya, kami ingin memohonlah kepada pihak polis traffik memberi pandangan dan pendapat bagaimana cara kami untuk meletakkan kenderaan kami supaya tidak disaman.

Jangan hanya semata-mata ingin mengejar SKT (Sasaran Kerja Tahunan) sahaja sehingga hilang perikemanusiaan dengan mengeluarkan saman. Kami tidak ada duit untuk membayar saman sebanyak RM30 kerana wang sebanyak itu kami boleh membeli sekampit beras untuk makan sebulan. Tidak hairan jika rakyat Sarawak memilih DAP untuk mewakili mereka. Perlukah kami mengikuti pola Sarawak?

Sekian, Salam Hormat,

LOPUNG

No comments:

Post a Comment