Monday 23 May 2011

RM85 JUTA BANTU RAKYAT MISKIN SABAH



KERAJAAN Persekutuan memberi peruntukan RM85 juta kepada Sabah tahun ini bagi program 1Azam untuk membantu golongan miskin, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin.

Katanya 12,500 ketua isi rumah berpendapatan rendah dan miskin tegar bakal diberi bantuan di bawah program itu sebagai usaha mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan.

"Program 1Azam diperkenalkan bertujuan membasmi kemiskinan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia miskin tegar dengan menambah pendapatan mereka sehingga melebihi had garis kemiskinan iaitu RM540 sebulan bagi miskin dan di bawah RM2,000 sebulan bagi golongan berpendapatan rendah," kata Yahya yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah pada majlis penyerahan bantuan Program 1Azam peringkat daerah Semporna di sini Isnin.

Menerusi program itu, kerajaan memperkenalkan empat ‘azam’ iaitu Azam Tani untuk memberi ruang kepada peserta menjana ekonomi berasaskan pertanian, Azam Kerja untuk menjana pendapatan melalui penempatan pekerjaan, Azam Niaga bagi memberi peluang menjana pendapatan melalui perniagaan kecil-kecilan melalui penyediaan kemudahan pinjaman mikro dan Azam Khidmat untuk menjana ekonomi melalui bidang perkhidmatan.

Yahya berkata sejak program 1Azam bermula di Sabah pada pertengahan 2010, seramai 4,983 ketua isi rumah telah mendapat manfaat.

Selain 1Azam, program pembasmian kemiskinan lain yang sedang dilaksanakan di Sabah termasuk Projek Agropolitan, Mini Estet Sejahtera dan Projek Peningkatan Ekonomi Setempat. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment