Sunday 15 May 2011

SABAH TIDAK LAGI SELAMAT



Oleh: MEDIA SAPP

KEADAAN di Sabah telah banyak berubah berbanding dengan situasi 40 tahun lalu disebabkan ketika itu (tahun 70-an) rakyat Sabah boleh tidur lena kerana kurang menghadapi masalah; tetapi sekarang kena berjaga-jaga sepanjang masa dihambat pelbagai masalah seperti kes bunuh, rompak, dadah, sosial dan sebagainya yang telah mengancam rakyat Sabah sehingga tidak dapat dibendung lagi.

Timbalan Presiden Parti Maju Sabah, Datuk Eric Majimbun, ketika merasmikan Pesta Kaamatan Bahagian Pitas bagi mewakili Presiden Parti melahirkan kenyataan demikian berlandaskan senario yang berlaku sekarang.

“Kita hidup di negeri sendiri dalam keadaan ketakutan seolah-olah kita berada di negeri orang lain. Ini adalah kesan daripada kelalaian pihak berwajib khasnya kerajaan yang memerintah sekarang gagal menjalankan tanggung jawab untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” kata Eric yang bimbang kerana jumlah penduduk Sabah meningkat secara mendadak sehingga melebihi 3.12 juta orang.

Dalam ucapan perasmiannya, Eric telah menyarankan supaya rakyat khususnya kaum KadazanDusunMurut (KDM) harus bersatupadu, walaupun terdapat banyak halangan dihadapi pada masa kini.

Perayaan Pesta Kaamatan ini yang julung kali diadakan di Daerah Pitas telah dihadiri lebih kurang 150 orang terdiri daripada penduduk Kg. Kabatasan dan sekitarnya. Ahli Jawatankuasa Penganjur yang dipengerusikan oleh Dayahan Seraja berjaya melaksanakan majlis tersebut di kawasan terpencil itu.

Eric dalam ucapan penutupannya menyeru supaya kaum KDM sentiasa mengamal dan meneruskan semangat kekitaan seperti mana yang dilakukan melalui perayaan Pesta Kaamatan ini yang dirayakan di seluruh pelusuk negeri Sabah.

Hadir sama dalam perayaan tersebut ialah Datuk Hj. Mohd. Noor Mansor, mantan Menteri Kewangan Sabah kerajaan terdahulu menyatakan dalam ucapannya bahawa kegembiraan beliau untuk melihat suasana keramaian majlis tersebut sebenarnya sayu kerana Pesta Kaamatan sepatutnya bermaksud ada hasil tuaian.

Namun di kampung ini jelas kelihatan tidak ada apa-apa yang mahu dituai. Malah di Daerah Pitas juga mengalami situasi serupa. Beliau kesal oleh kerana pada satu ketika dahulu Sabah mempunyai sumber alam yang banyak termasuklah kawasan penanaman padi oleh penduduk kampung yang boleh mendapat tuaian yang membanggakan.

Tetapi apa yang berlaku sekarang telah berubah sebaliknya oleh kerana kawasan atau tanah orang kampung telah dirampas balik oleh kerajaan dan diberikan kepada syarikat-syarikat besar daripada Semenanjung.

Tanah orang kampung yang telah diusahakan sejak puluhan tahun dan sudah mengeluarkan hasil tidak dipedulikan malahan ada di antaranya dibakar bersama-sama dengan rumah pemilik tanah tersebut.

Maka dalam hal yang sedemikian, Datuk Hj. Mohd. Noor mengajak dan merayu kepada semua, bukan sahaja kaum KDM di Daerah Pitas tetapi juga seluruh rakyat jelata Sabah supaya berfikir sewajarnya bagaimana untuk mendapatkan kembali hak-hak asasi mereka daripada kuasa-kuasa pemerintah yang ada sekarang.

“Justeru, PRU ke-13 akan datang adalah kayu pengukur dan peluang terakhir bagi rakyat Sabah untuk menyelamat dan mengembalikan hak Sabah kepada orang Sabah yang telah terhakis,” ujar beliau.

Turut memberi ucapan pada majlis perayaan tersebut ialah Johnes Piut, Pengerusi CLC N.3 Pitas, mantan ADUN kawasan ini yang merupakan penggerak dan penyumbang utama segala keperluan dan persediaaan perayaan Pesta Kaamatan itu.

Dalam ucapannya, beliau telah menyatakan betapa sakitnya hati penduduk kampung khususnya di Kawasan Pitas oleh kerana bagaikan orang asing di tanah sendiri. Banyak masalah yang dihadapi sebenarnya tetapi halangan yang paling besar adalah mengenai dengan kedudukan pemilikan tanah setiap orang kampung yang sudahpun digazet oleh kerajaan untuk diberikan kepada syarikat-syarikat gergasi ‘Government Link Company (GLC)’ yang dipercayai hanya memberi kepentingan kepada kerajaan tetapi menindas kepada rakyat.

Setiap hari orang kampung hanya mampu untuk bersedih dan menunggu masa untuk diusir oleh kerana akan kehilangan hak milik tanah mereka dan dikatakan penceroboh. Keadaan inilah yang paling rumit untuk diatasi oleh masyarakat di Pitas sehingga ada di antara mereka mengambil risiko untuk berbuat sesuatu dalam tangan sendiri kerana tidak tahan dengan tindakan melampau oleh pihak berwajib yang tidak berperikemanusiaan.

Johnes dalam ucapan akhirnya menyeru supaya penduduk di seluruh kawasan ini dapat bersama-sama dengan beliau untuk berjuang dalam Parti Maju Sabah (SAPP) demi anak cucu dan generasi akan datang kerana beliau yakin dan percaya bahawa SAPP adalah satu-satunya parti tempatan yang memahami naluri orang Sabah dan dapat membantu mengatasi halangan yang dihadapi oleh rakyat jelata.

Perayaan ini juga turut dihadiri oleh Agnes Liew (Pengerusi CLC Kadamaian), Jaely Medong (CLC Banggi), Richard Jiun (CLC Matunggong) dan ahli-ahli parti dari kawasan Pitas.

No comments:

Post a Comment