Saturday 7 May 2011

SABAHKINI.NET BUKAN MEDIA PEMBANGKANG



Oleh: SURIATI MAHMUD

KETUA Editor Sabahkini.net dan C.E.O SabahkiniTV, Mutalib M.D menafikan kedua-dua media baru berkenaan adalah media pembangkang yang menggembar gemburkan kelemahan kerajaan bagi memberi ruang kepada pembangkang mempengaruhi pengundi pada pilihanraya umum akan datang.

Mutalib menegaskan, pihaknya jarang menerima berita daripada Ahli Parlimen atau Wakil Rakyat BN sehingga kelihatan Sabahkini.net sebagai media utama bagi pembangkang menyalurkan maklumat kepada para pengundi dan pembayar cukai.

“Sabahkini.net tidak pro kepada siapa-siapa dan kita tidak tertakluk kepada sebarang pihak. Sebarang laporan yang kita siarkan dalam Sabahkini.net adalah demi untuk kepentingan rakyat; sekalipun seolah-olah berita yang disiarkan dimonopoli pembangkang,” kata Mutalib yang menafikan Sabahkini.net menjadi alat propaganda pembangkang.

Tegas Mutalib, ramai pemimpin BN terlalu sombong dan taksub untuk menghantar berita ke Sabahkini.net kerana bimbang dikritik pengundi dan dicap sebagai ‘berhaluan kiri’ hanya disebabkan Sabahkini.net menyiarkan berita menurut sudut pandangan panel sendiri tanpa tunduk kepada tekanan sebarang pihak.

Terdapat juga pihak yang takut bayang-bayang sendiri, kata Mutalib, terutama apabila Sabahkini.net menyiarkan berita berlatarkan grafik yang memeningkan kepala mereka, tetapi itulah kreativiti Sabahkini.net yang bukan sahaja menyampaikan berita secara terus, malah melalui ‘satira’ dalam bentuk grafik, sketsa atau humor.

“Sama ada mereka suka atau tidak, Sabahkini.net dan SabahkiniTV telah menjadi media rakyat menyuarakan isi hati mereka tanpa sebarang kekangan dan melaporkan dengan betul apa yang terjadi, tanpa sebarang tokok tambah,” ujar Mutalib yang menyifatkan senario tersebut sebagai tidak disukai pemimpin BN dan juga pembangkang.

Puji memuji melangit atau menyembunyikan fakta, kata Mutalib tidak ada dalam kamus Sabahkini.net dan sehingga kini pihaknya tidak pernah gagal melaporkan berita sekalipun ramai pemimpin kerajaan terutama menteri kabinet tidak senang dengan Sabahkini.net kerana tidak boleh dibeli!

Sehubungan itu, Mutalib mempelawa agar Jabatan Kerajaan dan GLC mencontohi sikap KKLW dan Lembaga Elektrik Sabah yang menjadikan Sabahkini.net sebagai salah satu saluran menyampaikan maklumat sekalipun dalam masa yang sama mereka dihentam teruk melalui Sabahkini.net.

“Sikap professional mereka wajar diteladani kerana semua agensi kerajaan wajar menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat secara pantas dan mudah tanpa membuang masa,” tegas Mutalib yang mengakui turut menerima banyak ‘Surat Cinta’ daripada pihak berkuasa termasuk saman dan amaran untuk menutup Sabahkini.net.

“Kekalahan 16 kerusi BN kepada Pakatan Rakyat terutama di kawasan dominasi Cina dan bukan Melayu sewajarnya memberi pengajaran kepada menteri kabinet persekutuan dan negeri untuk berfikiran sejenak bahawa jentera media mereka tidak mampu menembusi benak pengundi,” ujar Mutalib yang menegaskan bahawa media internet amat berpengaruh di Malaysia selepas pilihanraya umum 2008.

Tugas Sabahkini.net, kata Mutalib, hanya untuk menakluki minda 25 peratus pembaca golongan pertengahan dan elit yang menjadi pembuat keputusan dan bakinya terpulanglah kepada institusi masing-masing untuk membuat penetrasi mengikut acuan mereka sendiri.

Sebarang sebaran media atau artikel yang ingin disiarkan, kata Mutalib, boleh diemail terus kepada sabahkini.net@gmail.com dan seberapa yang boleh pihaknya tidak akan membuat suntingan agar memberikan hak mutlak kepada pembaca yang tidak lagi membaca akhbar atau media cetak untuk menilai dan membuat keputusan.

No comments:

Post a Comment