Sunday 22 May 2011

SABAHKINI.NET TIDAK PERNAH BERSELINDUNG



Oleh : SHAIMON S JUMADI

WARTAWAN kanan (Ketua Biro) Sabahkini.Net Wilayah Sandakan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah orang yang mendakwa Sabahkini.net berselindung di sebalik agenda tertentu; serta pro dan milik pembangkang atau ditaja tokoh tertentu untuk menjatuhkan tokoh lain dalam kerajaan.

Sebagai menjawab dan mengulas fitnah mahupun dakwaan yang ditujukan kepada Sabahkini.net oleh ratusan pembaca termasuk seorang yang menggelar dirinya Sandakan CT Malah, melalui FaceBook yang dikirim semalam, antara lain menyebut;

“Saya tidak lagi berminat dengan Sabahkini.Net kerana pro kepada pembangkang dan banyak berita yang tersiar menghentam kerajaan dan berbaur politik.”

Dalam hal ini, saya sudah berkali-kali jelaskan kepada umum bahawa Sabahkini.net bukanlah dimiliki oleh BN/UMNO mahupun parti-parti pembangkang seperti SAPP/DAP PAS dan KeAdilan. Sabahkini.net adalah portal bebas yang berperanan menyuarakan masalah-masalah rakyat termasuk juga aktiviti-aktiviti kerajaan.

Untuk makluman umum dan Sandakan CT Malah, saya adalah ahli Parti GERAKAN CLC Elopura yang merupakan salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) dan saya bekerja sepenuh masa di Sabahkini.Net yang memegang jawatan sebagai Ketua Biro (Wartawan Kanan) Wilayah Sandakan dan dibantu oleh dua orang yang memegang jawatan sebagai wartawan iaitu Chang Shak Hung dan seorang jurufoto, Jun Pacifico. Kedua-dua mereka ini telah dilantik secara rasmi oleh Ibu Pejabat Sabahkini.Net di Kuala Lumpur.

Dalam peranan saya sebagai wartawan, walaupun saya adalah anggota parti dalam kelompok BN, saya tegas dan tidak bersifat berat sebelah kerana apa saja bahan untuk dijadikan berita, sama ada datangnya dari pihak kerajaan mahupun pihak parti-parti pembangkang, adalah berdasarkan fakta yang jelas yang saya terima dan bukannya secara hentam keromoh atau cerita sengaja direka-reka kerana Sabahkini.net juga berpegang kepada etika kewartawanan media baru.

Jadi saya minta kepada Sandakan CT Malah dan pembaca lain, dengan adanya kenyataan dan penjelasan saya mengenai latar belakang dan peranan Sabahkini.net dalam menyiarkan semua berita-berita adalah selaras dengan slogan dan konsep Sabahkini.net ‘Membongkar Kebenaran, Mempertahankan Kejujuran” dapat diterima oleh semua golongan masyarakat pembaca.

Sekali lagi saya tegaskan di sini, tugas utama sabahkini.net adalah menyiarkan segala keluhan dan rintihan rakyat di samping bertindak menyebarkan segala maklumat terkini mengenai aktiviti-aktiviti semasa kerajaan yang dilakukan oleh para pemimpin-pemimpin BN.

Selama 25 tahun sebagai wartawan kanan, saya belum pernah dapat menikmati kebebasan media sebagaimana yang diamalkan Sabahkini.net sehingga diterima kerajaan sebagai media baru yang ternama di Sabah.

No comments:

Post a Comment