Tuesday 24 May 2011

SUHAKAM PANDANG BERAT ISU TANAH ADAT



TUNTUT….Sabini turut menyerahkan sesalinan Memorandum Tuntutan Tanah Adat kepada Datuk Henryanus Amin yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Oleh : MEDIA PBS

“Hasrat mengeluarkan tanah adat dari Hutan Simpan dan Sabah Forest Industri (SFI) tidak akan berjaya jika penuntut terlibat tidak memberikan kerjasama,” kata Jannie Lasimbang, Pesuruhjaya SUHAKAM.

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh Ketua Bahagian PBS Kemabong, Sabini Ansumor, yang mewakili Jawatankuasa Tuntutan Tanah Adat dan Hak Asasi Penduduk Kemabong dianggotai 24 Ketua Penuntut menyerahkan memorandum setebal 1,200 muka surat.

Difahamkan bahawa memorandum seumpama itu turut diserahkan kepada Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan melalui Datuk Henryanus Amin, selaku Setiausaha Agung PBS.

Justeru itu, para penuntut dinasihatkan agar memberikan kerjasama kepada agensi kerajaan dan SUHAKAM apabila penyiasatan dan sesi dialog diadakan kelak. Apa yang penting menurutnya, penduduk hendaklah bermuafakat dalam membuat keputusan dan tindakan.

Menurut Jannie, pihaknya mendapat banyak pertanyaan dan memorandum berkaitan tanah adat dan Hak Asasi Kemanusiaan dari seluruh Sabah. Beliau turut memberikan sedikit penerangan berkaitan SUHAKAM dan geran komunal.

“Sikap terhadap geran komunal ini sangat bergantung kepada perspektif pihak terlibat. Saya berpendapat kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci berkaitan geran komunal ini,” kata Jannie.


SERAH….Sabini menyerahkan memorandum kepada Jannie disaksikan rombongan jawatankuasa Tuntutan Tanah Adat dan Hak Asasi Penduduk Kemabong

Antara ketua penuntut yang hadir ialah Gambar Lusar, merayu agar kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka. Menurut beliau, kawasan yang dituntut mempunyai kaitan sejarah nenek-moyang dan terpaksa berpindah atas arahan kerajaan terdahulu.

“Kami sudah tua, kami mahu kembali ke kampung halaman. Anak cucu kami juga ramai, mereka perlu tanah, dari tanah sahaja kami pandai mencari rezeki, kembalikan tanah kami,” rayu Gambar.

Menurut Sabini, sebahagian tuntutan datangnya dari kampung masih dihuni seperti Kapulu, Sumambu dan Katubu. Difahamkan penduduk di sana bergantung hidup dengan hasil tanah dan tidak mempunyai tanah di tempat lain.

“Tuntut tanah ini sudah lama diusahakan. Baru kali ini memorandum tuntutan secara kolektif dibuat. Termasuk dalam memorandum ini ialah tuntutan tanah adat dari Imahit. Berdasarkan situasi semasa, peluang pengeluaran tanah adat dari Hutan Simpan oleh kerajaan adalah cerah,” kata Sabini optimistik.

Hadir sama ialah Anggoh Maya, Naib 1; Ansapi Pawan, AJK; Florentius Alex, Setiausaha dan beberapa wakil penuntut.

No comments:

Post a Comment