Tuesday 10 May 2011

SUKU DARIPADA BAJET UNTUK PENDIDIKAN



KENANGAN……Abdul Rahman mengabdikan album kenangan bersama AJK Penganjur program dan pelajar yang menerima bantuan tersebut.

Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI

SATU perempat daripada bajet KERAJAAN PERSEKUTUAN dibelanjakan untuk sektor pendidikan ini membuktikan agenda pendidikan merupakan keutamaan kerajaan Barisan Nasional.

Setiausaha Barisan Nasional Sabah, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata daripada belanjawan pendidikan itu juga sebahagian besarnya dibelanjakan untuk membantu keluarga miskin yang tidak mampu.

Katanya, bajet yang disediakan itu digunakan untuk membantu guru-guru menjadi guru yang lebih berkesan, membina sekolah, membina prasarana, membantu murid-murid miskin dan sebagainya.

“Fakta begitu jelas tidak ada satu negara meletakkan kebajikan rakyatnya di satu persada yang amat tinggi dalam objektif sebuah kerajaan, sebanyak 25 peratus daripada bajet peruntukan kerajaan persekutuan dibelanjakan untuk sektor pendidikan.”

“Rakyat Malaysia ini cukup bertuah ini kerana tidak ada lagi negara luar yang sanggup membelanjakan satu perempat daripada belanjawannya untuk sektor pendidikan kecuali kerajaan Barisan Nasional yang menjadi pemerintah di negara ini.”

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyampaian pakaian sekolah seragam dan kasut sekolah yang telah diadakan di Sekolah Kebangsaan St.John Tuaran, dekat sini, baru-baru ini.

Majlis itu telah dianjurkan oleh Koperasi Serbaguna Sanya Berhad (KOSAN) dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Dan Guru SK St.John Tuaran.

Abdul Rahman berkata sebagai salah seorang Ahli Parlimen Malaysia hampir setiap bulan ada saja tugasan yang telah diberi oleh pihak parlimen yang secara tidak lansung memberi peluang kepada beliau untuk melawat di luar negara.

Menurutnya antara negara yang telah beliau lawati seperti Afrika, Amerika selatan, ke Eropah, Eropah Timur ataupun ke negara-negara Indo-China dan sebagainya.

“Sesungguhnya apabila kita melihat keadaan di luar, di negara-negara yang sama taraf dengan negara Malaysia, kita dapati tidak ada satu kerajaan di luar negara yang membantu rakyatnya sebaik kerajaan Barisan Nasional.” tambahnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Guru Besar SK St. John Tuaran, Helen Gasat; Yang Di-Pertua PIBG SK St. John Tuaran, Ghulbdin Enjih; Setiausaha Koperasi KOSAN, Golubi Guntarek; Penolong Kanan SK St.John Tuaran, Zita Petrus; Ahli Pengarah Koperasi KOSAN, Datuk Biaisulkhan Salman Farish; Pengurus Besar KOSAN, Junain Yunus serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment