Monday 30 May 2011

SYABAS HISHAMUDDIN, TAHNIAH ISMAIL AHMAD



Oleh: JAMIL NASRAH

MANTAN Pegawai Imigresen, Yusof Datuk Hamdan mengucapkan syabas kepada Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien kerana mendengar suara hati rakyat Sabah yang sebelum ini membantah ura-ura melantik Generasi Kedua Pati sebagai Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah.

“Sebagai pesara, saya teruja dengan keprihatinan Hishamuddin yang berani memperjuangkan hak dan memberikan peluang saksama kepada rakyat tulen Sabah untuk memegang jawatan Jusa berkenaan,” kata Yusof yang memuji tindakan drastik Hishamuddin menolak rayuan pihak yang diwar-warkan akan dilantik sebagai Pengarah JPN Sabah (kerana krisis identiti) menggantikan Datuk Haji Jafffaer Henry yang bersara wajib.

Perlantikan Ismail, kata Yusof, menunjukkan kebijaksanaan Hishamuddin kerana sepanjang kerjaya Ismail telah melalui begitu banyak pengalaman sehingga pernah menjadi atase di Kementerian Luar di Singapura dan Timbalan Pengarah Imigresen Sabah sebelum dilantik sebagai Timbalan Pengarah JPN Sabah.

“Kita harap, Ismail akan dapat menjalankan tugas dengan sempurna dan menjaga kepentingan Sabah melebihi kepentingan diri. Sebagai sahabat lama, saya cukup berbangga kerana jawatan penting ini dipegang rakyat Sabah,” ujar Yusof yang menggesa lebih ramai anak Sabah diberi peluang memegang jawatan penting di agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.

No comments:

Post a Comment