Saturday 21 May 2011

TIGA BADUT SARKAS WARNAI POLITIK MALAYSIA



Oleh: MUTALIB M.D

GELARAN ‘BADUT’ (Clown) yang diberikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz terhadap Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali sebagai alasan kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas; mungkin menjadi kata kunci kepada ‘Sultan Sulu’ Datu Mohd Akjan Datu Ali Muhammad untuk melepaskan diri daripada hukuman di bawah Seksyen 130C, Kanun Keseksaan.

Walaupun Ibrahim Ali telah menimbulkan pelbagai rungutan dan kebimbangan sehingga hampir mencetuskan huru hara ekoran kenyataannya berhubung ‘Perang Salib’ di beberapa blog dan akhbar, namun Nazri berpendapat Dasar Langit Terbuka yang diamalkan Malaysia memberi kebebasan bersuara, sejajar dengan Dasar 10 Perkara Bill of Guarantees (BoGs) yang tidak akan menapis internet.

Keputusan Nazri ini memberikan tamparan yang hebat kepada Polis DiRaja Malaysia dan rakyat Sabah yang menanti penuh debar kes pertabalan ‘Sultan Sulu’; apatah lagi jika Nazri berpendapat bahawa Datu Akjan yang mengangkat sumpah sebagai ‘Sultan Sulu’ ke 33 di kediaman rasminya ketika beliau masih berstatus warganegara Malaysia, adalah setaraf dengan Ibrahim Ali iaitu ‘Badut Sarkas’.

Berdasarkan kes Ibrahim Ali yang dianggap sebagai sensitif dan berbahaya, lakonan ‘Badut Akjan’ ini sukar untuk diterjemahkan sebagai satu kesalahan jenayah kerana hanya dilaporkan melalui media elektronik dan media cetak kerana tidak mempunyai bukti yang melampaui keraguan munasabah; jauh daripada unsur ‘Mens rea’ dan ‘actus reus’ yang menjadi asas kepada undang-undang jenayah.

Majlis Angkat Sumpah Sultan Sulu yang kemudiannya diklasifikasikan sebagai Majlis Kesyukuran oleh Perdana Menteri Kerajaan Sulu Dalam Buangan, Datu Albi Ahmad Julkernain; tidak lebih daripada ‘suatu jenaka’ yang syok sendiri kerana sebelum ini seorang warga Malaysia, Datuk Abdul Razak turut mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu dan membakar bendera Sabah bersama pengikutnya.

Sabahkini.net tidak dapat mengulas lanjut kerana kes ini masih dalam siasatan polis dan dalam peringkat awal kerana Akjan akan dihadapkan ke mahkamah, sama ada untuk pendakwaan atau untuk menyambung perintah tahanan reman yang akan tamat pada 23 Mei.

Namun demi kepentingan rakyat Sabah yang bimbangkan pembentukan kerajaan buangan ‘Kesultanan Sulu’ ini menjadi kenyataan, maka Sabahkini.net mengalu-alukan pandangan daripada rakyat Sabah berhubung isu Sultan dan rakyat Sulu di Sabah yang disifatkan pemimpin politik Sabah sebagai ‘Ibu Kepada Segala Masalah’ dan ‘Bapa Kepada Segala Jenayah’.

Dalam pada itu, ramai kesal dengan sikap double standard Nazri dan turut menggelarkan Nazri sebagai salah seorang ‘Badut Sarkas’ yang mewarnai politik Malaysia selama ini; kerana mereka berjaya menarik perhatian dunia dengan mencetuskan isu sensasi dalam lawak ‘Clown’.

No comments:

Post a Comment