Sunday 8 May 2011

“TINGGALKAN BILIK HAWA DINGIN!”



SERAH…. Raimie sedang menyerahkan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta

Oleh: MOHD ZAKI EMPIN

PROGRAM Info Komuniti 1Malaysia amat bermakna untuk semua lapisan masyarakat di negara ini kerana program seumpama itu merupakan satu-satunya langkah efektif untuk menyahut saranan gagasan kerajaan 1Malaysia demi untuk merealisasikan impiannya agar orang ramai mendapat informasi kerajaan dengan tepat.

Namun jabatan dan agensi agensi kerajaan turut menerima saranan Ahli Parlimen Malaysia (Tenom) Datuk Raimie Unggi agar turun padang untuk mengetahui permasalahan rakyat selaras dengan aspirasi gagasan 1Malaysia ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,’ sebaliknya bukan sekadar duduk di bilik berhawa dingin tidak mengambil tahu hal ehwal rakyat.

Raimie berkata demikian ketika merasmikan penutupan Khemah Kerja Kelab Setia Komuniti 1Malaysia yang dihadiri kira-kira lebih 200 orang bertempat di Dewan Seri Antanom, Tenom, pagi tadi.

Majlis tersebut dianjurkan bersama Jabatan Penerangan Malaysia, Pejabat Daerah Tenom, Pejabat Pelajaran Daerah Tenom, Kelab Setia 1Malaysia dan Komuniti 1Malaysia Pekan Tenom.

Kemah Kerja Kelab Setia 1Malaysia seramai 100 peserta itu disertai daripada para pelajar sekolah menengah diseluruh Sabah dan mereka telah berkampung di Taman Pertanian sejak 6 Mei 2011 sehinggalah ke hari ini (Ahad).

Raimie yang juga Pengerusi DESA Group Sendirian Berhad Sabah seterusnya berkata, bahawa melalui program tersebut penduduk di peringkat akar umbi akan mendapat manfaat kerana boleh berinteraksi secara terus dengan jabatan dan agensi-agensi kerajaan berhubung perkhidmatan yang dilaksanakan oleh jabatan dan agensi berkaitan.

“Kerajaan pada dasarnya, sentiasa berusaha membangunkan sosio ekonomi rakyat, maka pelbagai pendekatan yang terbaik telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan keturunan,” tegas Raimie.

“Sesungguhnya kita di Malaysia, amat bersyukur dan bertuah kerana dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan menjalankan kerja kehidupan seharian tanpa gangguan dan tekanan akibat rusuhan mahupun pergolakan politik seperti yang dihadapi di sesetengah Negara,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan program tersebut yang berkonsepkan 1Malaysia amat bertepatan dengan senario semasa yang bukan sahaja tertumpu di Sabah malah di peringkat Nasional kerana perpaduan dijadikan asas kejayaan 1Malaysia yang telah dititikberatkan segenap lapisan masyarakat.

Tegasnya, program tersebut merupakan satu landasan kerajaan bagi memupuk semangat patriotisme, perpaduan dan nilai-nilai murni melalui gaya hidup yang berkualiti, budaya jatidiri bangsa yang setia.

Raimie dengan nada yang penuh kebanggaan mengucapkan syabas kepada Komuniti 1Malaysia Pekan Tenom, Kg Pulong, Kg Chinta Mata dan Komuniti 1Malaysia mukim Tomani kerana senantiasa aktif membuat program berbentuk kemasyarakatan yang memberi faedah kepada masyarakat di situ dari aspek informasi kerajaan.

Turut hadir di majlis itu, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah Yunus Haji Sabrin; Pegawai Daerah Siriman MF Basir; Ketua Polis Daerah DSP Mazlan Haji Lazim; Penasihat Sektor Pelancongan Daerah Tenom Kapitan Wong Tet Yun; ADO Fredian Gan dan para pemimpin masyarakat tempatan.

.

No comments:

Post a Comment