Thursday 5 May 2011

UMNO SENAGANG BANTAH PEMECATAN AZMAN



BANTAH….Awang Jahadi bersama kenyataan akhbar yang mereka sediakan membantah pemecatan Azman.

Oleh: ROZIE JUMAT

PEMUDA UMNO Mukim Senagang, Bahagian Keningau, hari ini meminta Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, khususnya Ketua Pemuda UMNO Malaysia, memberikan penjelasan berhubung isu pengguguran Ketua Pemuda UMNO Bahagian Keningau, Azman Hj. Ruslan sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah berkuat kuasa 29 April lalu.

Jurucakapnya, Awang Jahadi Gusti, 33, berkata Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairy Jamaludin perlu memberikan rasional pengguguran Azman bagi menggelakkan polemik dan spekulasi politik mengenai kepimpinan Pemuda UMNO Negeri Sabah dari terus diperkatakan.

“Kami selaku ahli Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Keningau merasa terkejut dan sedih berikutan pengguguran ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Keningau berkata demikian di Sidang Akhbar yang diadakan bagi menuntut penjelasan isu pengguguran tersebut bersama Ketua-Ketua Pemuda Cawangan, Ahli Jawatankuasa Cawangan dan Ahli-ahli Pemuda UMNO Cawangan Mukim Senagang Bahagian Keningau di Dewan Sri Meninipir, Kampung Meninipir, Keningau.

BERSATU…..Sebahagian dari ahli pergerakan pemuda Umno Bahagian Keningau Mukim Senagang yang bersatu padu menentang pemecatan Azman.

Di dalam sidang akhbar itu, beliau turut membacakan kenyataan 7 perkara mengenai isu pengguguran Azman Hj. Ruslan sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah. Antara lain, kenyataan itu menuntut penjelasan rasional dan telus mengenai sebab- sebab pengguguran Azman Hj. Ruslan, memohon agar jawatan tersebut dikembalikan sekiranya tiada penjelasan munasabah dapat diberikan dan menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azman Hj. Ruslan selaku Ketua Pemuda Bahagian Keningau.

Selain itu, pihaknya juga menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada pucuk pimpinan parti dan yakin segala keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan adalah demi kebaikan parti.

Di dalam sidang akhbar tersebut, seramai 35 orang ahli Pergerakan Pemuda UMNO dari pelbagai cawangan di Mukim Senagangturut hadir menyatakan sokongan terhadap Azman Hj. Ruslan. Antara yang turut hadir ialah Ketua Pemuda Cawangan Kg. Meninipir, Saypudin Hj. Maidin, Ketua Pemuda Kg. Sumbiling Baru, Peter Bituin dan Ketua Pemuda Cawangan Kg. Senagang, Rayner James.

Berikut kenyatan penuh Pemuda UMNO Kg Senagang;

Bahawasanya kami, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Cawangan dan Ahli-Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan-Cawangan Bahagian Keningau (Mukim Senagang) dengan penuh rasa takzim dan rendah diri mengeluarkan kenyataan berhubung isu pengguguran Saudara Azman Hj. Ruslan sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah seperti berikut :

-Pengguguran Saudara Azman Hj. Ruslan sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah adalah satu titik hitam dalam perjuangan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri khususnya dan perjuangan Parti secara amnya. Walau bagaimanapun, sebagai ahli-ahli yang setia, kami akur dan menghormati keputusan pucuk pimpinan Pergerakan Pemuda Malaysia.

- Walau begitu, kami yakin satu penjelasan rasional dan munasabah perlu diterangkan secara telus dan realistik agar kami lebih memahami faktor-faktor pengguguran ini. Oleh itu, kami mendesak agar Ketua Pemuda UMNO Malaysia dapat memberikan penjelasan mengenai sebab dan sekali gus menjelaskan mengenai waktu pemecatan yang disifatkan sebagai janggal ini. Secara langsung atau tidak, pengguguran ini telah menjejaskan perancangan persiapan jentera pilihanraya yang akan datang, khasnya di peringkat akar umbi.

- Kami juga berharap agar campur tangan dari Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sabah bagi mendapatkan penjelasan telus ini sekiranya Ketua Pemuda UMNO Malaysia tidak dapat menjelaskan rasional pengguguran Saudara Azman Hj. Ruslan sebagai Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah.

- Sekiranya tiada penjelasan yang rasional dan munasabah dapat diberikan, kami memohon agar jawatan Ketua Pemuda UMNO Negeri Sabah dikembalikan kepada Saudara Azman Hj. Ruslan agar polemik dan spekulasi politik kepimpinan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sabah dapat diredakan.

- Kami juga dengan rasa ikhlas ingin menyatakan sokongan penuh ke atas kepimpinan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Keningau, Saudara Azman Hj. Ruslan dan yakin dengan karisma, kewibawaan dan kepimpinan beliau di peringkat bahagian dan negeri.

- Kami juga percaya Saudara Azman Hj. Ruslan mampu memartabatkan lagi Pergerakan Pemuda UMNO dalam memperjuangkan matlamat dan dasar parti dan yakin beliau mampu memberikan sumbangan yang efektif dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 kelak.

- Akhir sekali kami juga menyatakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada parti UMNO di bawah pimpinan Y.A.B Dato` Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak , Pedana Menteri Malaysia sebagai Presiden Parti UMNO Malaysia dan YB Dato’ Sri Panglima Musa Hj. Aman , Ketua Menteri Sabah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri serta YB Datuk Hj. Sairin Hj. Karno, ADUN N.34 Liawan selaku Ketua Bahagian UMNO Bahagian Keningau dan serta kami akur dan setia pada apa juga keputusan yang telah diputuskan di peringkat atasan.

No comments:

Post a Comment