Monday 6 June 2011

BARASIK HANYA NOSTALGIA SILAM



SANGKUBAN….Madis Suman bergambar di belakang Sangkuban di rumah Murut di KDCA baru-baru ini.

Oleh : HJ.WAHAB TIMPAI

BARASIK adalah nama panggilan perubatan tradisional bagi suku Murut di daerah Tenom pada zaman dahulu ketika masyarakat berkenaan masih ‘pagan’ dan mempercayai dukun kampung.

Pengamal perubatan itu seorang dukun atau dipanggil Babalian dan seorang pembantunya yang dipanggil Malim.

Babalian itu boleh berinteraksi secara langsung dengan orang ‘Bunian’ (makhluk halus) ketika menjalankan rawatan perubatan itu.

Barasik dilakukan Babalian selama masa dua malam berturut-turut dalam keadaan semua pintu dan tingkap rumah ditutup rapat.

LIHAT…Para penonton tertarik melihat keunikan Sangkubanyang dihiasi pelbagai bunga berwarna-warni termasuk mayang pinang.

Dalam pada itu, bermula dari malam pertama, masyarakat setempat datang berduyun-duyun untuk membantu tuan rumah yang bermasalah dengan membawa sedikit buah tangan seperti gula dan serbuk kopi kerana mereka juga turut tidur di sana selama dua malam.

Selepas upacara Barasik itu dan setelah Babalian itu beredar dari rumah pesakit, maka berkuat kuasalah pantang larang, iaitu orang ramai tidak lagi dibenarkan menziarahi pesakit tersebut selama tiga hari.

Sekiranya pantang larang itu tidak dipatuhi, maka pesakit itu akan ‘kambuh’ atau dipanggil (megagar) dalam bahasa Murut sehingga boleh membawa maut.

Bagaimanapun, kini Barasik semakin pupus setelah mereka yang mengamalkan cara perubatan itu meninggal dunia dan tidak meninggalkan pewaris ilmu perubatan kuno tersebut.

MANDI….Tajau ini diisi dengan air untuk digunakan memandikan orang sakit setiap subuh, selama dua malam.

KELILING…. Babalian menari mengelilingi Sangkuban ketika dilakonkan semua, memukau para penonton di KDCA.

Untuk dipertontonkan kepada orang ramai, acara Barasik tersebut dilakonkan kembali oleh seorang anak tempatan Murut, Madis Suman, 59, dengan melatih beberapa orang belia dan beliawanis daerah Tenom.

Baru-baru ini tarian Barasik dijadikan persembahan di KDCA sempena perayaan Pesta Kaamatan begitu memukau para pelancong tempatan dan luar negeri.

Sebelum bermula upacara Barasik itu, Sangkuban akan dibina di tengah-tengah rumah keluarga yang sakit itu untuk tempat Babalian berkenaan menyandar dan di situ juga tempatnya menari mengelilingi Sangkuban.

Madis Suman yang juga seorang pesara wajib berkata, idea melakonkan cara perubatan tradisi Murut itu tercetus untuk menghidupkan suasana meskipun bukan bertujuan memberi ubat, sebaliknya mengimbau nostalgia perubatan tradisional kini yang sudah pupus ditelan zaman; sedangkan ketika itu merupakan institusi penting kerana belum ada hospital.

No comments:

Post a Comment