Thursday 16 June 2011

BELUM LANTIK SYARIKAT 6P URUS PATI



KERAJAAN masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pelantikan mana-mana syarikat sebagai pengurus Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P), kata Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Zaitun Ab. Samad.

Beliau berkata keputusan mengenai senarai pelantikan akan dibuat oleh sebuah jawatankuasa khas yang dianggota 17 wakil dari pelbagai bahagian di KDN, Jabatan Imigresen, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia serta Polis Di Raja Malaysia.

"Jawatankuasa ini masih dalam proses menimbang tara setiap permohonan yang diterima untuk pelantikan sebagai Syarikat Pengurus," katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran keras terhadap mana-mana syarikat yang mengaku dilantik sebagai ejen pelaksana Program 6P ini yang mengambil kesempatan mengutip bayaran daripada majikan dan pendatang asing tanpa izin bagi tujuan pendaftaran dan pemutihan.

"Kerajaan tidak akan berkompromi dan tindakan keras dari aspek undang-undang akan diambil selain (syarikat itu) disenarai hitam dan dikeluarkan daripada senarai pertimbangan untuk dilantik sebagai syarikat pengurus," katanya.

Zaitun seterusnya menggesa orang ramai membuat laporan polis jika mendapati berlaku salah laku berkaitan aktiviti memungut bayaran menggunakan nama Program 6P.

Beliau berkata pada masa sama, KDN juga akan bekerjasama dengan pejabat-pejabat kedutaan asing di Malaysia bagi membantu memaklumkan kepada semua warga masing-masing agar lebih berhati-hati dan tidak tertipu dengan apa juga pelawaan membabitkan aspek bayaran di bawah program ini.

Menurutnya sehingga kini laporan polis berkaitan aktiviti memungut bayaran daripada majikan serta pendatang asing dibuat terhadap lima syarikat dan individu.

Zaitun berkata untuk sebarang maklumat dan pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan KDN dengan menelefon 03-8886 8110/8112, atau faks 03-8889 4836, atau hantar e-mel ke blkgerakankdn@moha.gov.my.(BERNAMA)

12 comments:

  1. Harap tiada mana2 pihak mengambil kesempatan ni untuk mengesploitasi PATI.

    ReplyDelete
  2. Masalah PATI mesti diselesaikan dengan cara yang berkesan. Harap kerajaan akan memberikan lebih perhatian dalam hal ini.

    ReplyDelete
  3. keadaan ini mesti dipantau. mesti banyak syarikat yang ambil kesempatan.

    ReplyDelete
  4. Tidak bertanggungjawab betul jika ada pihak yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.

    ReplyDelete
  5. Harap program 6P ini menampakkan kesan yang lebih memberansangkan dalam mengatasi masalah PATI ini.

    ReplyDelete
  6. Apa kriteria2 yg dititik beratkan oleh kerajaan dalam memilih syarikat2 ini? mungkin boleh dihebahkan? itupun kalau komen ini dibaca la hehe...

    ReplyDelete
  7. belumpun program ini dilaksanakan sudah timbul masalah.. walau apapun yang berlaku terhadap syarikat2 yang mengambil kesempatan ini, saya cuma mengharapkan supaya Sabah diberikan keutamaan dalam penyelesaian masalah PATI..

    ReplyDelete
  8. harap program 6p ini akan dapat membantu mengatasi masalah PATI yang berlaku di negara ini.

    ReplyDelete
  9. Sebaiknya laksanakannya secepat yang mungkin. Jika tidak pasti kedatangan akan terus bertambah dari masa ke semasa.

    ReplyDelete
  10. mmg diharap program ini berjaya selesaikan masalah PATI yang membelenggu negara kita.

    ReplyDelete
  11. Semoga tidak ada yang mengambil kesempatan dalam kesempitan.

    ReplyDelete
  12. Harap program yang dibuat dapat menanggani isu pati.

    ReplyDelete