Saturday 4 June 2011

DI MANA NKRA, 48 TAHUN REDAH SUNGAI?



JAMBATAN....Jakol menunjukan ke arah sungai yang perlu pembinaan jambatan

Oleh : SHAIMON S JUMADI

TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Taviu Musambak Telupid, Jakol Gambut mendesak kepada kerajaan BN khususnya Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee dan Wakil Rakyat kawasan Labuk Datuk Seri Micheal Asang agar menyalurkan projek jambatan konkrit ke kampung Taviu sebagai kemudahan asas kepada penduduk setempat.

Katanya, ketiadaan jambatan tersebut menyebabkan penduduk kampung berkenaan yang hendak pergi ke satu-satu tempat terpaksa menyeberangi melalui sungai.

“Walaupun keadaan sungai itu cetek, tetapi kalau di musim hujan berpanjangan, paras airnya boleh mencecah sedalam sehinga 6 dan 7 kaki dan arus airnya pula terlalu deras dan ini akan membahayakan nyawa orang ramai dan juga budak-budak yang hendak pergi ke sekolah,” ujarnya.

Tegas Jakol lagi, memandangkan sungai tu merupakan laluan utama kepada masyarakat kampung tersebut dan kampung berhampiran, maka beliau yang mendakwa mewakili penduduk seramai 300 orang merayu kepada Wakil Rakyat yang dipilih agar dapat meluluskan pembinaan projek jambatan konkrit tersebut.

Semasa ditemu bual oleh Sabahkini.Net Jakol menjelaskan, penduduk kampung ini 80 peratus adalah pengundi dan penyokong kuat dan setia kepada BN/UMNO tetapi beliau hairan kenapa kampungnya terlalu sukar mendapatkan projek dan kemudahan asas daripada kerajaan.

SUNGAI...Beginilah keadaan sungai jka banjir berlaku. Paras airnya mencecah 6 sehingga 7 kaki sehingga jalan tersebut tidak dapat dilalui kenderaan atau manusia.

Katanya lagi, malahan penduduk kampungnya banyak menghadapi pelbagai masalah termasuk geran hak milik tanah sekalipun sudah hampir 30 tahun memohon geran bagi tanah yang diusahakan sepenuhnya.

“Sekali kita dengar pihak Jabatan Tanah dan Ukur akan mengeluarkan geran kepada pemilik seramai 142 orang yang membabitkan keluasan 3,000 ekar mengenakan sukatan sistem Fast Track dan tindakan pihak Jabatan berkenaan yang disokong oleh ADUN benar-benar mengguris hati penduduk di sini,” tambah Jakol.

Kata Jakol, Inilah faktor utama kawasan Kampung Taviu masih mundur dalam menikmati arus pembangunan kerana kedua-dua wakil rakyat tidak pernah membuat lawatan ke kampung ini untuk melihat sendiri situasi kehidupan rakyatnya, melainkan ketika merayu undi lima tahun sekali.

No comments:

Post a Comment