Saturday 4 June 2011

GPBPBB PELAWA NGO BERGABUNG



Oleh: JAAFAR ABDUL WAHID

GABUNGAN Persatuan Belia Pedalaman Bawah Beaufort (GPBPBB) akan menganjurkan program Perkasa Belia pada 11-12 Jun ini bertempat di Pusat Latihan Binsuluk, Beaufort.

Pegawai Perhubungan GPBPBB, Ustaz Said Ag Damit, (gambar) berkata program ini dianjurkan bertujuan untuk mendedahkan belia yang belum berpersatuan di bahagian Pedalaman Bawah proses penubuhan sesebuah persatuan belia kerana lebih dari 200 orang golongan belia di kawasan ini akan terlibat dengan program tersebut.

Menurut Said, melalui program ini para belia akan dibimbing dengan panduan mentadbir organisasi.

“Antara pengisian program tersebut ialah pembentangan tiga kertas kerja oleh Pendaftar Pertubuhan, wakil Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah dan Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan Sabah. Wakil Majlis Belia Sabah pula akan berperanan sebagai pemudahcara dalam bengkel yang akan dijalankan nanti,” katanya ketika di temui di sini pagi kemarin.

Ahli Dewan Undangan Negeri bagi Kawasan Membakut Datuk Ariffin Arif dijangka akan merasmikan program tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Said yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bisaya Bersatu Sabah menyeru persatuan belia akar umbi di bahagian Pedalaman Bawah agar menyertai GPBPBB, yang diketuai oleh Cik Halimah Abd. Rahman.

Katanya, syarat utama bagi persatuan belia menyertai Gabungan ini ialah sesebuah persatuan mestilah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan.

Menurut Said lagi, banyak faedah yang akan dapat dinikmati oleh sesebuah persatuan dengan menyertai Gabungan ini, terutama suara belia di bahagian Pedalaman Bawah akan dapat disalurkan ke peringkat atasan secara kolektif melalui satu wadah.

Dalam pada itu , GPBPBB mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri yang dijadualkan akan melawat daerah pedalaman. Menurut Said para belia di Pedalaman Bawah berbesar hati dengan lawatan Perdana Menteri.

Difahamkan Perdana Menteri akan singgah di daerah Sipitang dalam lawatan tersebut dan Perdana Menteri akan akan turut sama memeriahkan program-program yang diatur untuk Golongan Belia di Daerah Sipitang.

Tambah Said, sebagai penghormatan kepada kunjungan pemimpin nombor satu negara ini ke Pedalaman bawah, Gabungan akan menggerakkan ahli-ahlinya untuk bersama-sama Perdana Menteri dalam program yang akan dijalankan

No comments:

Post a Comment