Wednesday 15 June 2011

LDP, PARTI HAMBA ABDI?



Oleh : WONG SANG LEE

NAIB Presiden LDP, Dato’ Lim Kim Hai @ Lim Ming Ho merupakan salah seorang lagi ‘Badut LDP’ yang cetek pemikiran selain ‘Ahli Politik Sampah’, Datuk Chin Su Phin yang dilantik sebagai Senator di Dewan Negara baru-baru ini.

Kecetekan pemikiran Lim terserlah dalam artikel yang disiarkan dalam Sabahkini.net bertajuk ‘Musa Terperangkap Di Papan Catur Politik?’ seolah-olah memberikan gambaran jelas bahawa LDP langsung tidak faham politik.

Artikel berkenaan memberi gambaran bahawa beliau pakar membuat analisa politik Sabah sedangkan dalam senario sebenar, kesemua andaian yang dipaparkan dalam artikel berkenaan tidak masuk akal.

Hakikatnya, Barisan Nasional (BN) Sabah sekarang ketandusan pemimpin Cina yang berwibawa sehingga Ketua Menteri Sabah membuat keputusan bijaksana melantik Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Dr Yee Moh Chai sebagai Timbalan Ketua Menteri mewakili masyarakat Cina bagi menggantikan Datuk Peter Pang yang keluar meninggalkan LDP dan menyertai Gerakan.

Ketua Menteri, Datuk Musa Haji Aman mungkin terpaksa mengambil langkah tidak popular tersebut kerana tidak ada pemimpin yang berkualiti di dalam LDP, apatah lagi Presiden LDP, Datuk V.K.Liew terlalu lemah untuk mengendali sebuah parti yang ditubuhkan sebagai ‘Parti Hamba Abdi’ kepada ‘Pemimpin Kuala Lumpur’.

LDP yang ditubuhkan ‘Kuala Lumpur’ bagi melaksanakan visi ‘pecah dan perintah’ kekuatan politik masyarakat Cina di dalam PBS bagi membolehkan BN menawan dan mengekalkan kemantapan mereka di Sabah sehingga kini.

Tidak ada sesiapa yang boleh mengukur kekuatan politik Dr Yee Moh Chai kerana tidak wujud walau seorangpun pemimpin Cina yang diterima kaum tersebut secara kolektif melainkan Yee kerana dipilih sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah.

Dakwaan Lim bahawa pilihanraya kecil parlimen Batu Sapi boleh dijadikan penanda aras untuk mengukur sokongan rakyat terhadap LDP sebagai dakwaan orang hilang akal kerana LDP dan Presidennya tidak mempunyai pengaruh langsung dalam politik Sabah.

Kesemua pemimpin LDP yang ada sekarang, bukan dipilih sebaliknya dilantik, termasuk Chin Su Phin yang bermulut besar tetapi berotak kecil. Oleh itu tidak ada seorang pemimpin LDP yang boleh mendakwa mereka mempunyai pengaruh dalam politik atau mempunyai kedudukan selamat, melainkan jika mereka dipilih dalam Mesyuarat Agung LDP akan datang.

Jika benar V.K.Liew adalah aset kepada LDP, kenapa terlalu banyak desas desus di kedai kopi dan tempat umum bahawa tanpa pertolongan UMNO, V.K. Liew akan kehilangan deposit pada pilihanraya umum akan datang.

Berdasarkan keputusan pilihanraya umum 2008, V.K. Liew memenangi kerusi parlimen Sandakan dengan majoriti 176 undi setelah mendapat 8,297 undi sahaja. Namun jika dicampur undi calon pembangkang iaitu Chong Chui Lin 8,121 dan Fong Vun Fui 2,929, bermakna majoriti rakyat Sandakan, iaitu 11,050 menolak kepimpinan V.K. Liew. Kertas undi yang ditolak 644 lebih banyak daripada majoriti yang dicatatkan V.K.Liew.

Pandangan majoriti masyarakat Sandakan sekarang ialah LDP tidak wujud lagi dalam sejarah politik tanah air selepas PRU-13 kerana kalah di semua kerusi yang ditandingi dan hanya tinggal seorang ‘Political Reject’ iaitu Senator Datuk Chin Su Phin sahaja di Dewan Negara.

Walaupun V.K.Liew menang 176 undi sahaja tetapi LDP bagaikan ayam betina yang telur sebiji, tetapi riuh sekampung, tidak pernah menyerlah sebarang kekuatan politik mereka di Sabah; melainkan bermula dengan ehsan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir terhadap Datuk Chong Kah Kiat (Tan Sri) yang tidak ada tempat dalam politik Sabah kerana beliau tidak mempunyai kekuatan dan karisma di kalangan masyarakat Cina.

Tetapi semua pemimpin LDP lupa bahawa tanpa bantuan Musa Aman dan Mendiang Edmund Chong Ket Wah, V.K.Liew sudah pasti kalah pada 2008 kerana ketika itu ‘Mantan Pemandu Teksi’ (V.K.Liew) itu tidak langsung mempunyai tokoh untuk menjadi ahli politik, apatah lagi beliau bukan orang Sandakan dan hanya menjadi bidan terjun bagi mengantikan Datuk Lau Ngan Siew yang tewas kepada calon DAP pada 2004.

Begitu juga dengan Chong Kah Kiat yang patut berterima kasih kepada Datuk Anifah Aman dan Datuk Yong Teck Lee yang telah menjurutera kejayaan Chong Kah Kiat di kerusi DUN Tanjung Kapor iaitu kawasan bumiputera Islam atas arahan Tun Dr Mahathir.

Tanpa sokongan kedua tokoh ini, Chong Kah Kiat tidak akan pernah menang dalam pilihanraya sehingga menjadi Ketua Menteri pada 2001-2003. Anifah mengerahkan Ketua Pemuda UMNO Kudat, Murtadza menyokong Chong Kah Kiat; manakala Yong Teck Lee telah meminta jasa baik Persatuan Hakka agar memastikan masyarakat Cina memberikan undi mereka kepada Chong Kah Kiat.

LDP yang ditubuhkan semata-mata untuk menjadi ‘Hamba Abdi’ kepada Pemimpin Kuala Lumpur sehingga ke hari ini, memenangi semua kerusi yang ditandingi pada 2008 dengan bantuan UMNO dan SAPP bagi memastikan ‘Dasar Pecah dan Perintah’ berterusan di Sabah, agar Parti Bersatu Sabah (PBS) kehilangan sokongan Cina.

Oleh itu, jelas terbukti LDP bukanlah ‘Parti Dominan Cina’ sebaliknya ‘Parti Suruhan Malaya’ untuk melumpuhkan kekuatan PBS dan hanya wujud secara ‘Virtual’ dalam arena politik Sabah, sekalipun mempunyai 26 Bahagian di Sabah yang bagaikan rumput di tepi jalan, ‘hidup segan tetapi mati tidak mahu.’

LDP adalah ‘Parti Proksi’ untuk melaksanakan tugas jahat yang diamanahkan oleh ‘Bos Mereka’ di Kuala Lumpur atau dengan kata lain Parti yang tidak mempunyai hati dan perasaan; sekalipun sering memekik melolong tanpa tujuan khusus, melainkan untuk kepentingan peribadi pemimpin tertentu.

Sewajarnya DYMM Yang Di Pertuan Agong menarik balik pingat ‘Dato’ yang dikurniakan kepada Lim Kim Hai @ Lim Ming Ho kerana beliau hanyalah ‘Hamba Abdi’ kepada V.K.Liew, sehingga merendahkan martabat darjah bintang kebesaran berkenaan.

Berdasarkan senario politik sekarang, BN di Semenanjung tidak lagi segagah dulu setelah hampir kecundang pada pilihanraya umum ke-12 (2008); begitu juga dengan Pakatan Rakyat seperti DAP, PAS dan PKR juga bukan lagi lemah seperti dahulu.

Manakala MCA, Gerakan dan MIC semakin kehilangan semangat, seolah-olah tidak lagi wujud dalam persada politik tanah air kerana terancam oleh asakan pengaruh Pakatan Rakyat.

UMNO bukan lagi mendominasi 60 peratus undi orang Melayu kerana PAS dan PKR sudah merampas 30 hingga 40 peratus undi orang Melayu; tambahan pula mereka mempunyai kelebihan kerana Generasi Muda lebih condong kepada Pakatan Rakyat.

Pengaruh UMNO yang dahulunya kelihatan kuat atau kebal kini semakin tergelincir dengan pelbagai skandal dan tidak mungkin mampu untuk mempertahankan kerusi yang mereka menangi pada pilihanraya umum lalu iaitu 78 kerusi.

Sudah pastinya Najib mengetahui dilema politik BN dan memerlukan Musa Aman dan Taib Mahmud untuk memastikan ‘Tali Hayat’ politik beliau dan terus kekal sebagai Perdana Menteri dan BN terus memerintah Malaysia, baik dengan atau tanpa kehadiran Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Kehebatan dan kewibawaan Musa Aman sudah terbukti berbanding Shafie yang bukan sahaja ditolak oleh UMNO Kedah, malah tidak dapat diterima di Sabah kerana mengamalkan politik sengketa dengan Ketua Bahagian UMNO di Sabah selepas menjadi Naib Presiden UMNO.

Tidak mungkin Najib mengambil risiko dengan melantik Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah atau mengekalkan V.K.Liew kerana belum pasti dapat mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan pada pilihanraya umum akan datang; yang bukan sahaja kelihatan bodoh, malah akan dianggap sebagai pemimpin Gila!.

Dalam artikelnya, Lim Kim Hoi mengheret Special Branch (SB) atau Cawangan Khas dalam permainan politik beliau kerana tidak mungkin SB akan melaporkan bahawa LDP begitu kuat di Sandakan, sedangkan ‘kejantanan’ V.K.Liew masih boleh dipertikaikan kerana tidak mungkin dapat mempertahankan kerusi Parlimen Sandakan tanpa sokongan UMNO.

Tidak tahu di mana silapnya, kenapa masih ada rakyat Sabah menyokong LDP? Tidak ada siapapun dapat menamakan apakah jasa besar LDP terhadap Sabah dan rakyatnya selain mencipta perbalahan atas arahan ‘Pemimpin Kuala Lumpur’ yang mempunyai agenda tersembunyi di Sabah.

Chin Su Phin sewajarnya bertanding dahulu dalam pilihanraya sebelum bercakap besar setelah dilantik sebagai Senator kerana menurut Mantan Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy, sesiapa juga yang dilantik Senator adalah ‘Political Reject’ dan menjadi liabiliti kepada kerajaan dan rakyat.

Sehubungan itu, ada baiknya Lim Kim Hoi mencermin diri sendiri agar tidak dikatakan ‘hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong’ atau ‘Kuali kata buntut periuk hitam’.

Kini tibalah masanya bagi Shafie Apdal memberhentikan kerja sia-sia kerana perbuatan menikam rakan politik di dalam UMNO Sabah, baik melalui tindakannya secara peribadi atau melalui ‘Gurkha Politiknya’ Seperti Chin Su Phin, Rahim Ismail, Azman Ruslan, Jamawi Jaafar dan sebagainya, ibarat meletakkan racun ke dalam air minuman Perdana Menteri.

Tanpa sokongan UMNO Sabah, siapalah Shafie pada hari ini, namun setelah sokongan diberi, beliau mula mengkhianati benih perpaduan yang dicambah sebelum ini sehingga layu di persada politik Sabah melalui ‘Perang Dingin’ yang dilancarkan Shafie semata-mata untuk melumpuhkan pengaruh Musa Aman dan merampas kerusi Ketua Menteri Sabah bagi menyudahkan agenda peribadi beliau.

15 comments:

  1. If LDP wants, they can chose to leave. No one is forcing them to stay in BN.

    ReplyDelete
  2. Apa yang dikatakan ini hanyalah cakap2 saja. Kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

    ReplyDelete
  3. Jika ada sebarang permasalahan berlaku perlulah diselesaikan dengan profesional.

    ReplyDelete
  4. Sekiranya pemimpin LDP tidak berkebolehan, maka lantikan tidak akan diberi.

    ReplyDelete
  5. LDP ni sentiasa saja buat hal..kalau tak senang dengan kepimpinan di bawah BN lebih baik undur diri.

    ReplyDelete
  6. LDP boleh kembali popular dan kembali mendapat sokongan rakyat jika mereka mengubah pendirian mereka serta sentiasa berkerjasama dengan komponen yang lain..

    ReplyDelete
  7. apa ni gaduh2...sepatutnya skarang ni semua pihak dalam bn perlu bersatu nnt pihak pembangkang ambil kesempatan pulak huhu....

    ReplyDelete
  8. LDP banyak bising saja..jelas apa yang dibisingkan adalah bukan kepentingan rakyat secara menyeluruh tetapi lebih kepada agenda 'political survival'..

    ReplyDelete
  9. seharusnya LDP memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada KM sabah untuk membangunkan sabah..

    ReplyDelete
  10. yang pasti Musa Aman adalah seorang pemimpin yang berkaliber..dan beliau adalah KM sabah yang ideal..

    ReplyDelete
  11. Ada2 saja yang mahu ditimbulkan. Entah lepas ni apa pula isu yang mahu dibangkitkan.

    ReplyDelete
  12. Apapun, pandai2lah rakyat menilai perkara ini.

    ReplyDelete
  13. macam-macam isu yang timbul. apa pun, sebaiknya semua menghentikan isu seperti ini dan fokus kepada isu lain yang lebih penting.

    ReplyDelete
  14. LDP juga byk peranannya dalam mengukuhkan BN Sabah. semua parti dalam BN mempunyai peranan masing2.

    ReplyDelete
  15. LDP tahu apa yang mereka lakukan. Mereka bukan hamba dalam BN. Tapi mereka ini antara parti yang berkebolehan untuk rakyat. Jadi tidak perlulah memecah belahkan BN Sabah.

    ReplyDelete