Thursday 16 June 2011

PENDUDUK KLIAS DAHAGAKAN PEMBANGUNAN



Oleh : SHAIMON S JUMADI Foto : TAUFICK RUSCHI

TIMBALAN Ketua Cabang yang juga Pengerusi Parti Pakatan Rakyat (PR) Beaufort, Taufick Ruschi (gambar) mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Klias, Datuk Hajjah Azizah Datuk Mohd Dun Banir dan Ahli Parlimen Malaysia (Beaufort), Datuk Lajim Hj Okin supaya menunaikan janji-janji pembangunan mereka kepada penduduk di kawasan DUN Klias dan Beaufort.

Kata Taufick, jambatan Kampung Rancangan Klias yang usang, rosak dan tidak ekonomi dibaiki boleh mengundang kecelakaan pada bila-bila masa sahaja kepada pengguna.

Walaupun penduduk kampung sudah berkali-kali mengajukan permohonan dan aduan kepada ADUN dan Ahli Parlimen, tetapi sehingga ke hari ini, belum ada apa-apa tindakan yang diambil oleh kedua-dua wakil rakyat berkenaan.

Taufick yang menghubungi Sabahkini.Net Wilayah Sandakan melalui telefon petang kelmarin menjelaskan bahawa penduduk di kawasan DUN Klias dan kawasan Parlimen Beaufort dahagakan pembangunan asas yang diabaikan selama ini.

“Saya tidak menafikan, memang ada pembangunan yang disalurkan dan diageh-agehkan oleh kerajaan kepada penduduk tetapi hanya tertumpu kepada penyokong-penyokong UMNO dan BN sahaja dan penduduk lain yang dicap sebagai anti kerajaan, terus terpinggir daripada menikmati kemudahan asas,” tegasnya.

Kata Taufick lagi, selain jambatan yang menjadi isu kepada rakyat di kawasan berkenaan, bekalan air paip di kawasan perumahan Taman Seri Panglima Beaufort adalah masalah utama yang dihadapi oleh penduduk-penduduk berkenaan saban hari.

“Sebagai penyokong parti pembangkang, saya tidak membabi buta mengherdik kepada kedua-dua wakil rakyat BN, tetapi ini satu kenyataan yang tidak boleh dielakkan lagi kerana lebih 60 peratus penduduk di kawasan ini terlalu dahagakan pembangunan. Mereka menagih janji-janji wakil-wakil berkenaan yang tidak pernah dikotakan,” ujar Taufik lagi.

Kata Taufick lagi, beliau menyuarakan isu ini bukan bertujuan untuk mencari publisiti murahan, tetapi demi membela rakyat yang terus tertindas dan dinafikan hak mereka daripada menikmati kemudahan-kemudahan asas seperti yang dilaung-laungkan oleh kedua-dua wakil rakyat, tetapi sekadar omong- omong kosong sahaja.

No comments:

Post a Comment