Tuesday 7 June 2011

SAGA PROMOSI TENOM PELANCONGAN SUKAN



RASMI ……Jamawi diiringi oleh jawatankuasa penganjur melambungkan bola sebagai simbol pelancaran kejohanan tersebut.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

PEMBANGUNAN sukan di peringkat daerah perlu diteruskan dan diperkasakan bagi mencungkil bakat-bakat muda dalam apa juga bidang sukan yang mereka ceburi.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Jamawi Jaafar berkata, usaha itu boleh dilakukan dengan menganjurkan klinik sukan dan menubuhkan kelab dan liga di peringkat daerah; di samping mempertingkatkan kemudahan sukan yang sedia ada di setiap daerah di negeri ini

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom berkata, usaha itu dapat melahirkan pemain-pemain pelapis buat mengisi skuad negeri dan negara pada masa hadapan.

Katanya, ketika ini usaha tersebut telah banyak digerakkan oleh pelbagai pihak termasuk agensi Kerajaan Pusat dan negeri terutama di peringkat sekolah malah menurut beliau penubuhan pelbagai kelab sukan setempat di peringkat daerah turut membanggakan.

"Saya yakin jika usaha ini beterusan di samping kesungguhan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan sukan, usaha untuk memperkasakan mutu sukan dalam apa juga bidang di negeri ini akan tercapai," katanya ketika merasmikan Kejohanan Bola Keranjang sukan SAGA di Dewan Kompelks Serba Guna Tenom, kelmarin.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur sukan SAGA kerana memilih daerah Tenom sebagai salah satu venue bagi kejohanan tersebut, Jamawi berharap ia turut membantu menjana kemajuan sukan di daerah Tenom; sekaligus mempromosi daerah Tenom sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik.

Jamawi yang juga Pengerusi Persatuan Bola Keranjang Daerah Tenom berkata, pihaknya iaitu Pergerakkan Pemuda Umno Bahagian Tenom, sedia membantu mana-mana pihak yang berminat membangunkan dan melaksanakan pelbagai program sukan di daerah itu

Menurut beliau, setakat ini pergerakan tersebut turut memberikan pelbagai kemudahan, antaranya peralatan sukan kepada setiap ahli pemuda cawangan, menganjurkan pelbagai program sukan melalui program Juara Rakyat Sukan dan sebagainya.

Jamawi turut memberi semangat kepada golongan remaja serta belia tempatan untuk terlibat secara lebih aktif dalam sukan berkenaan; sekaligus dapat menghindari golongan ini dari terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral.

"Semangat ini boleh dimanfaatkan untuk melahirkan bakat-bakat muda yang berpotensi. Mereka perlu digilap dan dilatih, jangan jadikan soal kewangan membataskan program sukan di daerah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment