Saturday 11 June 2011

SAMPAI BILA JANJI TERANG BULAN DITUNAIKAN?



Saudara Pengarang,

SAYA ingin merujuk kembali surat saya kepada Sabahkini.net yang bertajuk 'Mana Janji Pembangunan Buat Sandakan?' yang disiarkan pada 15 Mei 2011. Saya ada membangkitkan beberapa projek pembangunan yang pernah dijanjikan oleh para wakil rakyat Sandakan kepada penduduk Sandakan, tetapi sampai saat ini masih 'janji tinggal janji' dan tidak pernah dilaksanakan demi kesejahteraan penduduk Sandakan.

Dalam surat saya ini juga, saya juga ada meminta jasa baik semua wakil rakyat Sandakan supaya menjawab soalan ataupun memberi penjelasan yang saya bangkitkan sama ada menerusi laman Sabahkini.net ataupun melalui suratkhabar tempatan supaya saya dapat membuat penilaian prestasi wakil rakyat sebelum sebelum saya membuang undi dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Tetapi saya berasa teramat kecewa kerana sampai saat ini, semua wakil rakyat Sandakan tidak berminat menjawab soalan-soalan saya! Adakah soalan-soalan saya ini begitu sukar sekali untuk dijawab oleh anda para wakil rakyat Sandakan sekalian?

Ataupun anda sekalian (Wakil Rakyat Sandakan) tidak mempunyai jawapan kepada segala persoalan saya kerana anda sekalian juga tidak tahu bila projek-projek pembangunan yang saya utarakan akan dilaksanakan kerana anda sekalian hanya pandai menabur janji janji kosong dan 'gula-gula' kepada semua penduduk Sandakan termasuk saya sendiri agar mempercayai anda sekalian sekaligus mengundi anda semua dalam pilihanraya!

Inikah sikap wakil rakyat yang kami penduduk Sandakan harapkan agar membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada kami semua? Anda sekalian harus ingat bahawa anda membawa gelaran wakil rakyat yang membawa maksud 'anda mewakili penduduk, rakyat ataupun sebuah komuniti dalam memperjuangkan kesejahteraan, kesenangan dan segala kebaikan serta membawa suara hati mereka ke dewan undangan negeri ataupun kabinet agar mereka (rakyat) mempunyai sebuah kehidupan yang lebih baik'.

Tetapi adakah anda semua 'memainkan' peranan anda sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih oleh kami penduduk Sandakan? Jawapannya yang paling nyata ialah, TIADA!

Anda semua hanya hanya megah dengan gelaran Yang Berhormat tetapi langsung tidak menghargai dan mengenang segala jasa penduduk Sandakan yang memilih anda semua menjadi seorang wakil rakyat.

Untuk pengetahuan anda wakil rakyat Sandakan, saya sudah muak, mual dan putus asa dengan anda semua ini. Apa yang saya dan juga penduduk Sandakan lain mahukan ialah seorang wakil rakyat yang berkerja keras dan rajin turun padang dalam memperjuangkan nasib penduduk Sandakan dan bukan wakil rakyat yang bermegah megah dengan kereta 'ninja king' barunya ataupun wakil rakyat yang selalu dikerumumi oleh kaki-kaki bodek ataupun wakil-wakil rakyat yang hanya tunjuk muka bila ada acara rasmi dan mengiringi menteri-menteri kabinet!

Kami mahukan wakil rakyat 'Yang Berkhidmat, Yang Berkerja, Yang Berjasa, Yang Berhemah,Yang Berdisiplin dan Yang Bertanggungjawab.’

Saya juga ingin bertanya para wakil rakyat Sandakan, kenapakah Sandakan tidak mendapat apa-apa projek pembangunan dalam Sabah Development Corridor (SDC) selain POIC Sandakan dan Sandakan Education Hub (SEH), padahal Ketua Menteri Sabah dan juga beberapa menteri kabinet negeri dan beberapa Pengerusi GLC Sabah serta seorang Timbalan Menteri Persekutuan juga mewakili Sandakan?

Tidakkah anda semua berasa malu dengan penduduk Sandakan yang memilih anda dan mengharapkan anda semua memakmurkan kehidupan kami? Menurut Wikipedia, Sandakan pada masa dahulu semasa zaman kegemilangan kayu-kayannya adalah sebuah daerah yang melahirkan jutawan teramai dalam dunia dan Sandakan juga adalah bekas ibu negeri Sabah!

Tetapi apa jadi dengan Sandakan sekarang? Daerah yang saya tinggal sejak saya dilahirkan kini adalah sebuah daerah yang jauh ketinggalan dari segi pembangunan jika dibandingkan dengan Kota Kinabalu, Tawau dan juga Lahad Datu.

Contoh terbaik yang membuatkan saya betul-betul geram dengan janji kosong anda semua ialah mengenai projek naik taraf lapangan terbang Sandakan. Projek ini dilaung- laungkan dengan begitu lantang sekali semasa kempen pilihanraya umum yang lalu serta pernah dikitar semula semasa kempen pilihanraya kecil Batu Sapi yang lalu malah Timbalan Menteri Penggangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada tahun 2009 juga pernah menyebut projek ini akan dimulakan tidak lagi dan kerajaan persekutuan memperuntukkan RM110 juta menerusi SDC untuk projek ini. Sekarang sudahpun memasuki bulan jun 2011, tetapi tiada seinci pun lapangan terbang ini dinaiktaraf! Selain itu, Au Kam Wah (Adun Elopura) dalam kenyataannya di suratkhabar pada 02 Jun 2011 ada menyatakan projek ini akan dimulakan tidak lama lagi juga. Tetapi saya mahu tanya YB Elopura, apakah maksud anda 'tidak lama lagi'? Adakah anda bermaksud kami penduduk Sandakan terpaksa menunggu satu atau dua tahun lagi? Ataupun terpaksa menunggu selepas pilihanraya umum ke 13?

Saya sudah lali dan bosan dengan perkataan 'tidak lama lagi'! Sebenarnya, projek menaiktaraf lapanganterbang Sandakan ini adalah sangat penting bagi daerah ini, terutamanya dalam sektor pelancongan kerana kapal terbang yang lebih besar dapat membawa lebih ramai penumpang, terutamanya pelancong asing, sekiranya lantasannya dibesar atau dipanjangkan.

Lapangan terbang yang lebih besar dan moden juga akan menarik minat penerbangan asing untuk melakukan penerbangan terus ke daerah ini, sejajar dengan hasrat kerajaan membangunkan sektor pelaburan dalam BIMP-EAGA.

Baru baru ini, MasWings ada mengumumkan akan memulakan penerbangan terus KK-Tawau-Tarakan pada bulan oktober ini. Jadi, dengan pembesaran lapangan terbang Sandakan, para wakil rakyat Sandakan boleh mencadangkan kepada pihak pengurusan MasWings ataupun AirAsia untuk mengadakan penerbangan terus Sandakan-Clark, Sandakan-Manila, Sandakan-Jakarta, Sandakan-Bandung, Sandakan-Bali ataupun Sandakan-Brunei. Senario ini akan meramaikan lagi kedatangan pelancong asing ke daerah ini.

Saya juga ingin memberi nasihat kepada semua wakil rakyat Sandakan supaya berperanan sebagai seorang 'salesman' ataupun 'sales marketing' untuk Sandakan. Contohnya, tanggungjawab dan tugas seorang ‘salesman’ sesebuah syarikat adalah membawa seberapa banyak perniagaan dan hasil keuntungan kepada syarikat menerusi penjualan sesuatu produk ataupun barangan.

Ini membawa maksud, anda wakil rakyat Sandakan hendaklah 'menjual' dan mempromosi Sandakan kepada orang lain ataupun dunia luar supaya penduduk Sandakan akan mendapat manafaat daripadanya.

Sebagai contoh, dalam sektor hartanah ataupun pembinaan, anda wakil rakyat Sandakan hendaklah berusaha menarik minat dan berbincang dengan syarikat syarikat gergasi sektor pembinaan negara seperti SP Setia Berhad Group, Gamuda Bhd, IOI Properties, Sunway Group dan sebagainya untuk melabur di daerah ini seperti membina pusat membeli belah, bangunan komersial mewah dan sebagainya secara langsung memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Sandakan.

Memandangkan Sandakan masih mempunyai banyak kawasan tanah yang luas dan berkomersial tinggi dan nilai yang mewah dalam sektor pelancongan yang belum diterokai dan 'dijual' sepenuhnya kepada dunia luar.

Pengembara terkenal dunia, Mike Horn yang saya temui suatu ketika dulu juga mengakui Sandakan adalah sebuah kawasan yang cantik. Saya sebagai anak jati daerah ini juga berasa malu apabila saudara saya dari daerah lain bertanya kepada saya, “adakah tempat lain di Sandakan yang boleh anda bawa saya lawati selain Sepilok dan taman buaya yang telah saya kunjungi beberapa kali sudah?”

Tetapi inilah kenyataan pahit yang terpaksa saya hadapi kerana Sandakan ini sebenarnya memang kekurangan produk pelancongan, walaupun daerah ini dianugerahkan dengan bentuk muka bumi yang cantik dan flora dan fauna yang menawan oleh Tuhan Yang Maha Esa.

Contoh terbaik anugerah Tuhan kepada Sandakan ialah sungai Kinabatangan. Sebenarnya, sungai tersohor ini adalah sebuah sungai yang 'majestic' dan mengagumkan dengan kehidupan flora dan faunanya dan tidak keterlaluan jika dikatakan sungai ini setanding dengan sungai Amazon di Brazil yang begitu tersohor di seluruh dunia.

Bagi mempromosikan sungai ini supaya lebih ramai pelancong asing datang melawat sungai ini seperti apa yang berlaku di sungai Amazon, saya mencadangkan supaya wakil rakyat yang mewakili kawasan ini mempelawa rancangan dokumentari terkenal seperti National Geographic, Animal Planet, River Monster dan Discovery Channel untuk membuat rakaman di sungai ini.

Kesimpulan yang boleh saya berikan dari surat saya kali ini ialah, saya berharap anda wakil rakyat Sandakan sekarang janganlah lagi menawarkan diri anda untuk bertanding lagi di pilihanraya yang akan datang sekiranya anda semua masih bersikap sedemikian dan tidak membuat apa apa untuk membangunkan Sandakan.

Kami penduduk Sandakan begitu dahagakan pembangunan yang boleh mempertingkatkan nasib dan kehidupan kami. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sabahkini.net kerana memberi peluang dan ruang kepada saya untuk meluahkan isi hati saya yang telah lama terpendam di sanubari saya.

Salam Hormat,

STEVE.

19 comments:

  1. Promises must be fulfilled. Walk the talk.

    ReplyDelete
  2. tunaikanlah jnji tu, penduduk Sandakan telah lama menantinya.

    ReplyDelete
  3. setiap pekara yang dijanjikan perlulah ditunaikan. apa pun, mungkin itu memerlukan masa untuk melaksanakan semuanya.

    ReplyDelete
  4. wakil rakyat kena banyak bertindak daripada banyak bercakap tapi tindakan sedikit.

    ReplyDelete
  5. "Tetapi adakah anda semua 'memainkan' peranan anda sebagai seorang wakil rakyat yang dipilih oleh kami penduduk Sandakan? Jawapannya yang paling nyata ialah, TIADA!"

    This writer is very confident. I wonder how Sandakan has roads, electricity, water, buildings etc. All these came out from the ground just like that? It's a "miracle"!

    ReplyDelete
  6. Your concern is appreciated. Somewhere, somehow we have to be realistic. Even Rome was not built in one day.

    ReplyDelete
  7. Apa yang dijanjikan haruslah dipenuhi. Jangan biarkan ia sekadar cakap kosong.

    ReplyDelete
  8. Memang bukan senang nak penuhi semua janji sekelip mata, tapi janji tu ditabur bukannya semalam tapi lama sudah.. Jadi buatlah apa yang patut.

    ReplyDelete
  9. Wakil rakyat Sandakan harus segera tampil beri penjelasan. Kalau tidak mahu buat penjelasan pun ok, yang penting keperluan rakyat harus dipenuhi.

    ReplyDelete
  10. Walaupun Sandakan tidaklah terlalu mundur, namun Sandakan pasti akan lebih berkembang jika wakil rakyat Sandakan memberi perhatian terhadap hal ini.

    ReplyDelete
  11. Semoga luahan ini mendapat perhatian sewajarnya.

    ReplyDelete
  12. Sandakan right now is already developed..but of course not fully developed. It takes time for a place to fully developed.

    ReplyDelete
  13. Neway i hope whatever promises were thrown to the people will be fulfilled. Don't let the people down!

    ReplyDelete
  14. perkara biasa sudah kebanyakkan wakil rakyat ini hanya suka berjanji manis...

    ReplyDelete
  15. rakyat juga harus bersikap realistik dab bukannya terlalu optimis..pasal tu lah rakyat senang ditipu oleh mana2 wakil rakyat.

    ReplyDelete
  16. mana2 wakil rakyat yang 'tidak perform' sepanjang tempoh 1 penggal, maka rakyat harus menolaknya..undi calon baru yang dirasakan layak..yang lama buang saja sebab hanya merugikan rakyat.

    ReplyDelete
  17. janji2 politik (janji terang bulan) jangan harap akan ditunaikan..

    ReplyDelete
  18. bukan bandar sandakan sahaja yang memerlukan perhatian di negara ini.. beribu2 bandar di Malaysia memerlukan perhatian dari segi pembangunan. kerajaan sudah memberikan dua projek di Bawah SDC untuk Sandakan, jika projek itu tidak cukup begitu juga lah halnya dengan bandar2 yang lain.

    ReplyDelete
  19. Setiap pembangunan perlu kelulusan yang berperingkat. Maka bukan mudah untuk membangunkan negara. Apa pun pastikan setipa wakil rakyat memberikan janji yang logik dan mudah untuk dilaksanakan supaya rakyat tidak tertunggu-tunggu dengan janji-janji yang diberikan tersebut.

    ReplyDelete