Sunday 5 June 2011

SINDROM SARAWAK MENJANGKITI SABAH?



Oleh : SHAIMON S JUMADI

KEMUNGKINAN rakyat Sabah akan mengikut jejak bestari rakyat Sarawak pada Pilihanraya Umum Ke 13 (PRU-13) kelak dengan memberi kepercayaan kepada DAP di kawasan bandar yang didominasi pengundi Cina dan bumiputera bukan Islam; bukan kerana benci BN, tetapi memberi peluang kepada DAP sebagai wakil untuk bersuara.

Dalam penyelidikan rambang Sabahkini.Net ke kawasan perumahan Cina seperti Taman Sunny, Grand View dan Tanah Merah; majoriti pengundi Cina sudah hilang kepercayaan dengan Wakil Rakyat BN yang mewakili mereka selama ini kerana gagal memperjuangkan aspirasi dan menjaga kepentingan mereka.

Sekalipun tidak begitu terkesan dengan kenaikan harga minyak dan barang, namun kenaikan tarif elektrik untuk sektor komersial memberi kesan jangka panjang kepada keuntungan bersih mereka sehingga pelan pembesaran perniagaan mereka terencat.

Ekoran senario ini, masyarakat Cina marah kepada Wakil Rakyat BN berketurunan Cina kerana gagal membela kepentingan mereka terutama peluang kontrak dan kemudahan asas yang semakin mundur sehingga mereka terpaksa berbelanja lebih untuk pengangkutan dan upah buruh.

Masyarakat Cina tidak seperti masyarakat bumiputera yang marahkan nyamuk tetapi kelambu dibakar; sebaliknya masyarakat Cina membakar nyamuk untuk menyelamatkan kelambu. Dalam erti kata lain memastikan calon BN kalah di kawasan tertentu tetapi masih memerlukan kestabilan ekonomi dan politik sehingga berhempas pulas memastikan BN mendapat kemenangan dua pertiga.

Sementara itu, masyarakat bumiputera (Islam dan bukan Islam) di kawasan bandar, tidak begitu cerewet walaupun kenaikan harga minyak dan bahan keperluan asas melambung tinggi namun untuk menderhaka kepada UMNO tidak sekali-kali; sanggup mati dalam kepapaan asalkan berkafankan bendera UMNO.

Bak kata pepatah Cina Modern, orang Melayu menggunakan pisau yang tajam untuk memotong daging tetapi masyarakat Cina lebih bijaksana kerana menggunakan daging untuk memotong sesuatu yang amat penting dalam kehidupan mereka. Renung-renungkanlah!

No comments:

Post a Comment