Monday 6 June 2011

TAIB MAHMUD, ‘YAHUDI’ MELANAU TERAKHIR?



Oleh : MUTALIB M.D

MINGGU ini, saya meluangkan masa hujung minggu untuk bersembang secara santai dengan salah seorang Pakar Ekonomi Malaysia, Mr Hong (maaf kerana beliau tidak mahu nama dan wajahnya dipaparkan) di rumahnya di Kuala Lumpur.

Mr Hong hairan kenapa orang Sarawak, terutama berketurunan Foochow, yang terkenal dengan kebijaksanaan dari segi perniagaan kini bagaikan terpukau oleh aliran songsang politik Pakatan Rakyat terutama DAP, sedangkan mereka 100 kali lebih bijaksana daripada pemimpin DAP.

Kata Mr Hong, kebanyakan pegawai di Politburo China ialah orang Foochow kerana mereka bagaikan orang Yahudi yang terlalu istimewa dan bijaksana sehingga pengaruh perniagaan mereka melebar ke seluruh dunia. Di Amerika, China terkaya ialah berbangsa Foochow. Di Malaysia, Bank Pelaburan Swasta terkemuka, OSK dimiliki oleh tokoh Foochow.

Tetapi kata Mr Hong, beliau hairan kenapa Foochow di Sarawak tidak nampak dalam masa dua tahun akan datang, negeri mereka akan menjadi negeri termaju di Malaysia kerana mempunyai janakuasa elektrik hidro Bakun yang mampu mengeluarkan tenaga elektrik termurah di Asia Tenggara.

Tegas Mr Hong lagi, di Cambodia dan Singapura misalnya, kadar tariff elektrik lebih RM1 bagi satu kilowatt/jam (kw/H).

Tetapi di Sarawak, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud telah membeli tenaga elektrik daripada Elektrik Hidro Bakun dengan harga 6.25 sen (enam suku sen) bagi setiap kw/H.

Dalam sorotannya, Mr Hong berpendapat, Jepun, negara industri yang berasaskan automasi memerlukan tenaga elektrik yang murah terpaksa memilih Tenaga Nuklear, sekalipun diketahui berbahaya, terutama setelah kehancuran Hiroshima dan Nagasaki juga akibat bahana nuklear.

Namun Jepun hampir lumpur akibat kehilangan sumber tenaga apabila loji janakuasa nuklear Fukushima Daiichi mengalami kebocoran dasyhat baru-baru ini akibat gempa bumi dan tsunami; menyusuli kebocoran loji nuklear di Chernobyl di Rusia pada 1980-an.

Kini kata Mr Hong, banyak kilang di Jepun memerlukan tenaga elektrik dan di Asia hanya Sarawak sahaja mempunyai bekalan elektrik termurah di rantau ini kerana Bakun boleh menjana 20,000 megawatt sehari.

Menurut Mr Hong, beliau tidak hairan, tidak lama lagi syarikat gergasi ekonomi dunia akan melabur di Sarawak kerana tarikan sumber janakuasa termurah di dunia; yang bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan yang banyak, tetapi boleh memilih untuk bekerja di bidang apa.

Taib Mahmud, kata Mr Hong, bolehlah disifatkan sebagai ‘Lelaki Yahudi Melanau Terakhir’ kerana kehebatannya dalam bidang perniagaan; malah popular dalam urusan menghalang orang luar/Semenanjung (Malaya) daripada masuk ke Sarawak untuk menguasai ekonomi negeri tersebut.

Malah Syed Mokhtar dan Dr Mahathir sendiri, kata Mr Hong juga gagal menguasai ekonomi Sarawak. Sikap patriotik ini adalah kelebihan bagi Taib Mahmud yang tidak ada kepada pemimpin lain, kerana baginya kekayaan Sarawak khas untuk rakyat Sarawak, bukan untuk dikongsikan dengan ‘Orang Malaya’.

Jelas Mr Hong lagi, ramai orang tidak faham apa ertinya 20,000 megawatt bekalan elektrik daripada Bakun; tetapi bagi kilang mega atau gergasi seperti Toyota dan Sony, Sarawak adalah ‘Syurga Pelaburan’ kerana robot dan kilang mereka perlu sumber tenaga yang murah, berkekalan tanpa gangguan; apatah lagi kos pengeluaran paling tinggi ialah mendapat bekalan elektrik.

Masalah Taib, kata Mr Hong, sama juga seperti Tun Dr Mahathir. Rakyat Malaysia baru menyesal setelah Tun Mahathir tidak lagi memegang tampuk pemerintahan Malaysia. Ketika beliau memerintah, rakyat Malaysia hanya tahu mengkritik dan mahu beliau turun daripada tampuk kuasa.

Namun Mr Hong berharap agar kejdian ini tidak berlaku di Sarawak kerana tidak lama lagi ekonomi Sarawak akan berkembang dalam keadaan Malaysia berusaha mengurangkan subsidi minyak dan gas, sehingga menyebabkan harga bahan bakar berkenaan melambung tinggi selaras dengan kenaikan harga minyak dunia.

Kini harga minyak di negara jiran Malaysia antara RM5 (Thailand dan Singapura) dan RM6 seliter bagi Filipina, sekaligus akan menaikkan tariff bekalan elektrik dan satu-satunya tempat sumber tenaga termurah ialah Sarawak.

Dalam keadaan ini, ujar Mr Hong, sudah pastinya Taib akan berjaya melakukan transformasi ekonomi daripada kebergantungan kepada sumber hutan dan kelapa sawit kepada Taman Industri Mega bertaraf dunia.

Mr Hong menjelaskan beliau agak hairan bagaimana DAP mendakwa mendapat sokongan orang Cina Foochow di Sarawak sedangkan tidak ada siapa yang tahu sama ada Foochow benar-benar sukakan DAP atau mereka bencikan Tan Sri George Chan, Presiden SUPP.

Lim Guan Eng, kata Mr Hong, tentu gembira kerana DAP telah mendapat 12 kerusi di Sarawak, tetapi mungkin beliau lupa bahawa Cina di Semenanjung tidak sama taraf dengan Cina di Sarawak.

Cina Foochow di Sarawak menguasai surat khabar Cina di Indochina dan rantau Asia; malah masyarakat Foochow Sarawak juga menguasai industri kayu balak dunia. Sebaliknya di Semenanjung, kata Mr Hong, tidak ada satupun syarikat milik orang Cina yang bertaraf dunia.

Tegas Mr Hong, bagi mereka yang kenal Taib atau pernah berurusan dengan Taib, akan memperakui bahawa Sarawak amat bertuah kerana mempunyai Taib yang terlalu cerdik, cerdas dan bijaksana.

Yang menghairankan, kata Mr Hong, kenapa pemimpin BN dan Pakatan Rakyat daripada Semenanjung Malaysia termasuk Najib dan Anwar Ibrahim berkampung di Sarawak pada pilihanraya umum Sarawak 16 April lalu mahu beri nasihat kepada orang Sarawak? Bukankah tindakan bodoh mereka, bagaikan mahu mengajar itik berenang?

Dengan kedudukan Bajet Sarawak RM4 bilion berbanding Bajet Pulau Pinang hanya berapa ratus juta sahaja, Mr Hong hairan bagaimana Lim Guan Eng tergamak mahu mengajar Taib Mahmud mentadbir ekonomi Sarawak, sedangkan Sarawak bukanlah negeri setaraf Pulau Pinang, sebaliknya sebuah ‘negara’ rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia?

Pemimpin dan juru kempen Pakatan Rakyat yang datang ke Sarawak, kata Mr Hong, terutama yang bertudung dan berketayap, suka memaki hamun dan menabur fitnah, sedangkan amalan tersebut bercanggah dengan budaya leluhur Sarawak yang bersopan santun dan mempunyai hati budi untuk dinilai dengan perasaan dan kasih sayang.

Bagaimana pun, kata Mr Hong, bila Bakun beroperasi pada Ogos 2011, Sarawak akan menjadi tumpuan dunia kerana tarikan tenaga hijau yang murah dan mesra alam, terutama bagi syarikat gergasi dunia.

Ketika itu, rakyat Malaysia akan lihat apa yang DAP boleh janji kepada masyarakat Cina di Sarawak sedangkan Sarawak mempunyai tenaga elektrik 20,000 megawatt yang boleh diperbaharui setiap hari. Siapakah yang akan peduli kes Teoh Beng Hock di Sarawak dan itulah kenyataan yang perlu dihadapi DAP.

Lim Guan Eng, kata Mr Hong, perlu lebih berhati-hati kerana banyak kilang gergasi di Pulau Pinang akan berpindah ke Sarawak dan lihatlah nanti apa terjadi dengan ekonomi Pulau Pinang tanpa sektor perkilangan?

Bagi penulis blog dan orang politik yang bencikan Taib, kata Mr Hong, tentu merasa tercabar dengan kebijaksanaan luar biasa yang dimiliki Taib, apatah lagi dengan kuasa 20,000 megawatt @ 20 juta kilowatt tenaga setaraf dengan tenaga yang dimiliki TNB, sedangkan Sarawak mendapat tenaga daripada sumber percuma iaitu aliran air Sungai Rejang.

Adalah menjadi satu kesilapan besar jika Pakatan Rakyat turun berkempen sambil memaki hamun di Sarawak pada pilihanraya umum ke 13 kerana rakyat Sarawak lebih bijak daripada mereka.

Kata Mr Hong, Taib yang menjadi Ketua Menteri Sarawak selama 30 tahun iaitu sejak 26 Mac 1981 sudah berada lima langkah ke hadapan daripada Putrajaya, tetapi agak melucukan ketika Mahathir membina Putrajaya dan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) Lim Kit Siang bantah, kini Taib membina Bakun, anaknya, Lim Guan Eng pula yang membantah!

No comments:

Post a Comment