Monday 13 June 2011

TERMINAL BAS ATAU TERMINAL KERBAU?



Saudara Pengarang,

BARU-BARU saya pergi ke terminal bas express untuk perjalanan jarak jauh di Batu 2½, di Sandakan untuk mengambil kiriman bungkusan dari Kota Kinabalu. Tetapi seperkara yang menyakitkan mata saya ialah mengenai keadaan fizikal terminal bas ini yang begitu mengaibkan dan terlalu teruk.

Terminal bas ini bolehlah diibaratkan seperti 'tempat mandi kepada seekor kerbau' kerana kawasan sekeliling terminal ini ditakungi oleh air hujan dan berlumpur!. Saya begitu kasihan sekali melihat pemandu teksi dan juga pekerja-pekerja bas kerana terpaksa mencari rezeki dalam keadaan sebegitu rupa setiap kali selepas hujan, malah mereka terpaksa 'makan habuk' pula sekiranya cuaca panas kerana kawasan terminal tidak disimen dan diturap. Selain itu, pemandu teksi juga terpaksa berteduh dan bekerja di bawah pondok buruk.

Terdetik di hati saya ketika itu, kenapakah kerajaan tidak segera membina sebuah terminal bas yang lebih tersusun dan selesa seperti terminal bas di Inanam kepada penduduk di Sandakan, padahal kerajaan pernah menjanjikan membina sebuah terminal bus di Sandakan yang baru tidak lama dahulu?

Dua tahun yang lalu, saya melancong ke Clark, Filipina dan saya mendapati terminal bas di Clark jauh lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan terminal bas di Sandakan, walaupun negara kita lebih maju dari negara jiran kita itu.

Saya mencadangkan wakil persatuan teksi Sandakan ataupun pengusaha bas menjemput Adun Elopura, Au Kam Wah atau Datuk Raymond Tan (Adun Tanjung Papat) atau Datuk VK Liew (MP Sandakan) ataupun Presiden MPS iaitu Datuk James Wong melawat terminal bas batu 2 ½ ini selepas hujan supaya mereka rakyat dapat melihat dengan mata mereka sendiri betapa sengsara dan sukarnya pemandu teksi dan juga pengusaha bas mencari sesuap nasi dalam keadaan persekitaran yang berlumpur dan tidak menyenangkan!

Oleh itu, saya berharap pembinaan terminal bas yang baru haruslah disegerakan secepat yang mungkin kerana keadaan terminal bas sekarang sememangnya amat daif dan memalukan terutamanya kepada pelancong asing dan orang luar daerah Sandakan.

Wakil-wakil rakyat hendaklah sentiasa turun padang memahami 'denyutan nadi' dan perasaan penduduk Sandakan. Janganlah selalu duduk di dalam pejabat berhawa dingin dan menunggu laporan dari pembantu anda yang pemalas dan kaki kelentong.

Kami penduduk Sandakan memilih anda (wakil rakyat) semua menjadi 'pekerja' dan 'kuli' kepada kami dan bukan memilih kamu bersenang-lenang tanpa membuat apa-apa untuk kesejahteraan kami penduduk Sandakan.

Salam Hormat,

FAN WAH CHANG

8 comments:

  1. Pihak yang bertanggungjawab perlu ambil perhatian tentang rungutan ini. Jangan biarkan keadaan ini bertambah teruk.

    ReplyDelete
  2. Keadaan/permandangan sebegini hanya akan merosakkan imej Sandakan.

    ReplyDelete
  3. The government must help resolve this issue.

    ReplyDelete
  4. perhatian perlu diberikan terhadap pekara ini. keadaan ini perlu diperbaiki.

    ReplyDelete
  5. wakil rakyat sepatutnya selalu 'turun padang' untuk melihat keadaan rakyat dan infrastruktur yang sering menjadi rungutan penduduk.

    ReplyDelete
  6. jika yang dijanjikan tidak dapat dilaksanakan, bagaimana pula dengan masalah2 lain yang belum lagi diajukan oleh rakyat??

    ReplyDelete
  7. Sandakan adalah kawasan bandar, tak patut ia mempunyai terminal bas yang begitu daif, naiktarafkanlah terminal bas tersebut.

    ReplyDelete
  8. Yang dibandingkan Clark dengan Sandakan. Kenapa tidak bandingkan Clark dengan Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.

    Apa pun harap perkara ini diambil perhatian.

    ReplyDelete