Tuesday 30 August 2011

BAJAU ASLI BUKAN JERUNG LAGI?



Oleh : LAND OF TAPIOCA

MASIHKAH bangsaku Bajau mengekalkan identiti atau masih mencari diri yang semakin jauh hanyut oleh ledakan globalisasi? Bajau yang dahulunya golongan pejuang, pengembara, pedagang, pendekar, penyebar ajaran Islam dan peneroka samudera; kini menjadi hamba abdi dan hilang identiti.

Hari Raya Aidilfitri tidak lagi bererti kerana masyarakat Bajau meminta-minta dan bukan lagi penderma seperti dahulu. Kenapa semakin tinggi bilangan Pemimpin Bajau mendominasi politik, semakin rendah pula martabat masyarakat Bajau yang dipancing dengan janji dan dijual secara pukal dengan budi?

Masyarakat Bajau tidak lagi menjadi golongan yang digeruni, malah diperlekeh dan dihina dengan nilai RM50 untuk satu undi; sehingga tergadai negeri.

Perayaan berkembar Aidilfitri dan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara masih mengabdikan Sabah sebagai sebuah negeri yang dilucutkan hak ‘kenegaraan’ dan Perjanjian Malaysia dilacurkan untuk kepentingan peribadi pemimpin politik Bajau.

Bilakah Bajau akan merdeka ekonomi ketika laluan politik membadai bak Tsunami tetapi tenggelam di arus perhambaan yang tidak bertepi? Ekonomi Bajau semakin jauh tercicir dari Dasar Ekonomi Baru kini terpinggir dari kancah Dasar Pembangunan Nasional walaupun Menteri Bajau mengemudi NKRA.

Bajau masih menjadi nelayan sara diri atau Pelaut yang makan gaji kerana yang empunya kapal tunda didominasi oleh 'Lannang' dan kroni Menteri. Yang dapat subsidi taukeh 'Lannang' dan proksi; sementara Nelayan Bajau hanya mendapat angpau RM200 sebagai elaun sara diri.

Lautan dan benua yang sebelum ini menjadi supermarket kepada Nelayan kini adalah tirai besi yang dibayangi oleh pelbagai akta yang mengikat dan menghalang Nelayan daripada mencari rezeki. Bak kata seorang Nelayan, "dulu hari-hari kami menangkap ikan, tetapi kini kami ditangkap macam ikan."

Jika masyarakat Murut yang sebelum ini terpenjara di belantara yang diwartakan sebagai hutan simpan oleh Jabatan Perhutanan; kini bebas mengusahakan Tanah Adat (NCR) dengan penuh bangga.

Tetapi apakan daya kerana masyarakat Bajau langsung tidak mempunyai hak ke atas pesisir pantai yang menjadi tanah adat mereka kerana hampir kesemua kampung dan tanah di pesisir pantai telah diwariskan Kerajaan Negeri kepada 'Lannang' celaka.

Bilakah Kerajaan Malaysia akan memberikan kedaulatan kelautan melalui Ordinan atau Akta Laut kepada bangsa Bajau yang menjadi pewaris sejak zaman-berzaman; setaraf dengan Ordinan Tanah bagi Tanah Adat (NCR); sehingga agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) menjadi Lanun Samudera merompak hak bangsa Baja?

Sampai bilakah Pemimpin negara yang berjubahkan bangsa Bajau terus mendewakan bangsa Palauh (Bajau Laut-Sea Gypsy atau Badwi Laut) dan meminggirkan Bajau asli Sabah yang bagaikan 'Sucking Fish' yang melekat di badan Jerung; sedangkan Bajau patut menjadi Jerung di lautan?

Pelbagai zon ekonomi termasuklah zon ekonomi eksklusif dan Taman Marin diwartakan untuk Nelayan, tetapi yang merompak di kawasan berkenaan adalah Taukeh 'Lannang' yang menjadi kroni Menteri. Nelayan atau Pewaris Taman Marin dihalau atau dilarang mengamalkan ekonomi sara diri di kawasan yang diwartakan untuk mereka.

Maka jadilah mereka pelarian di negeri sendiri dan lautan tidak lagi memberi erti. Maka naiklah mereka ke daratan memenuhi warung kopi dan pejabat Menteri; menjadi peminta sedekah kerana tidak ada lagi daya untuk mencari nafkah, kerana PATI yang melaungkan Ketuanan Melayu telah menjadikan mereka hamba abdi yang kononnya merdeka.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, rasanya masyarakat Bajau tidak perlu meminta maaf kerana Bajau dilayan sebegini rupa.

No comments:

Post a Comment