Tuesday 30 August 2011

BINGKOR TERSUNGKUR DI LONGKANG KEMUNDURAN



USANG....Steve menunjukkan satu rumah usang dinamakan ‘Rumah Hantu’ kerana lebih kurang 30 tahun belum pernah dibaiki. Di tepi ialah flat guru.

Oleh: MEDIA PKR PEDALAMAN

SEJUMLAH RM 3.5 juta telah disalurkan melalui Ahli Parlimen dan ADUN setiap tahun bagi kawasan P.180 Keningau dan juga DUN N.33 Bingkor; namun sehingga kini Pekan Bingkor kelihatan kotor dan kediaman kakitangan kerajaan juga tidak mendapat perhatian oleh pihak yang berkenaan.

Selain itu, sebuah pondok bas untuk kegunaan murid-murid sekolah khasnya SK Bingkor dan ibu-ibu mengandung yang ingin ke Klinik Kesihatan Bingkor juga terbiar begitu sahaja.

Walaupun 6 pintu kedai telah siap dibina pada tahun 2009, namun sehingga kini peniaga di kedai lama masih menggunakan pasar ikan Bingkor untuk menjual barang-barang makanan.

Begitulah keadaan Pekan Bingkor pada masa kini, sekalipun terletak lebih kurang 10 km dari Pekan Keningau.

Pengarah Pilihanraya N.33 Bingkor (Parti Keadilan Rakyat) Steve Uding Linggi berkata, semasa pemerintahan koloni British pada 47 tahun lalu, pekan ini sangat bersih dan pada setiap hari minggu diadakan tamu besar yang memberi pendapatan lumayan kepada penduduk di Bingkor.

Kini, walaupun terdapat dua orang wakil rakyat, tetapi Bingkor telah jauh ketinggalan berbanding di tempat-tempat yang lain, kata beliau lagi. Bagi menyiasat ke mana perginya peruntukan yang telah diberi dan mengapa ketiadaan wang untuk membina sebuah pondok; Steve menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara ini demi kebaikan kepada rakyat dan negara.

RUNTUH…..Pondok bas di hadapan SK Bingkor hampir runtuh dan bangkunya telah rosak tidak dibaiki.

KOTOR....Tandas Bingkor dibina dengan kos lebih RM 60,000 tetapi tidak pernah dibersihkan.

Steve menegaskan bahawa beliau mendapat tahu SK Bingkor mempunyai lebih 400 orang murid dan lebih kurang 30 orang guru; tetapi flat guru yang dibina semasa koloni British terbiar begitu sahaja dan kini menjadi tempat pembiakan nyamuk dan sarang penagihan dadah.

“Saya tidak faham mengapa flat guru ini tidak mendapat peruntukan untuk dibaiki,” kata Steve yang menjelaskan bahawa ramai guru tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa menyewa di tempat lain.

Flat guru yang ada pada masa kini hanya boleh menampung 8 buah keluarga sahaja, namun dua buah bangunan telah terbakar tiga tahun lalu sehingga guru-guru kekurangan tempat tinggal.

Sehubungan itu, Steve berharap agar kerajaan mengambil langkah proaktif menyediakan tempat tinggal untuk guru sekolah berkenaan dan dalam masa yang sama meroboh bangunan yang telah uzur berkenaan agar tidak membahayakan oramg awam dan mengelak digunakan sebagai sarang maksiat.

Kata Steve, memang agak memalukan jika Wakil Rakyat tidak melihat sebuah pondok usang di hadapan SK Bingkor yang hampir roboh kerana berusia lebih 10 tahun; tetapi tetap digunakan ibubapa dan kanak-kanak berlindung dari hujan atau cuaca panas.

Steve bertanya ke manakah peruntukan Ahli Parlimen dan ADUN selama ini? Pondok ini juga digunakan oleh ibu-ibu mengandung dan anak-anak untuk ke Klinik Kesihatan Bingkor. Sekiranya pondok ini runtuh dan ketika itu terdapat ibu mengandung atau kanak-kanak, siapakah yang akan bertanggungjawab?

TERABAI.....Papan tanda Klinik Kesihatan Bingkor yang rosak dan dibiarkan begitu sahaja.

Pondok ini terletak lebih kurang 200 meter dari Pekan Bingkor, 50 meter dari SK Bingkor dan lebih kurang 30 meter dari Klinik Kesihatan Bingkor. Oleh itu Steve berharap agar pihak SPRM menyiasat mengapa tiada peruntukan untuk membaiki pondok yang hanya menelan belanja antara RM 5,000 - RM 15,000 sahaja.

Papan tanda Klinik Kesihatan Bingkor telah rosak sejak 3 tahun lalu, namun kata Steve tiada pihak yang mengambil perhatian. Sekiranya ia dibaiki, kemungkinan hanya menelan belanja sebanyak RM 1,000 sahaja; tetapi sehingga kini ia dibiarkan begitu sahaja.

Steve turut mengesahkan bahawa pada 24 April 2007, Datuk Ewon Ebin, Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah pernah datang ke tapak kedai Bingkor dan mengatakan kedai ini tidak lama lagi dibina untuk kebaikan rakyat Bingkor. Sebanyak 6 pintu kedai baru di Bingkor telah siap pada Jun 2009.

Bingkor sewajarnya dijadikan satu sub-district kerana Bingkor merupakan satu tempat yang bersejarah yang pernah menjadi pusat pentadbiran pada tahun 1930-an. Mengikut catatan sejarah, Tun Razak juga pernah melawat ke Bingkor untuk meraih sokongan rakyat membentuk negara Malaysia pada 1963.

TERBIAR.....6 pintu bangunan kedai telah siap pada 2009 hingga kini dibiarkan sahaja hingga menjadi tempat pembiakan nyamuk dan tempat penagihan dadah.

SEMENTARA.....6 pintu kedai Bingkor musnah dalam kebakaran pada 2001 tetapi sehingga kini peniaga menjual sementara di Pasar Ikan Bingkor sejak 10 tahun lalu.

Steve bertanya mengapa kawasan Bingkor seolah-olah tidak dipedulikan langsung? Di Kg Bayangan mempunyai pondok polis, di Apin-Apin juga mempunyai pondok polis tetapi mengapa di Bingkor kawasan yang bersejarah tidak mempunyai pondok polis?

Parlimen P.180 Keningau dan tiga kawasan DUN (DUN Tambunan, Bingkor dan Liawan) merupakan salah satu yang terbesar dengan mempunyai lebih 400 kampung dan pengundi tidak kurang 35,578 orang.

Kawasan N.32 Tambunan mempunyai 11,245 pengundi; N.33 Bingkor-13,339 pengundi dan N.34 Liawan -10,994 pengundi.

Peruntukan Ahli Parlimen ialah RM 3 juta daripada persekutuan pada setiap tahun untuk disalurkan kepada 3 DUN kerana setiap DUN boleh mendapat RM 1 juta. Selain itu, setiap ADUN mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri bermula tahun ini sebanyak RM 500,000 bagi setiap kawasan.

2 comments:

  1. Mcm ni pula keadaan bingkor dulu😭😭💔💔

    ReplyDelete
  2. kasian Pekan Bingkor, minta lah Pairin Family yg kaya raya tu tolong sikit2 bah.

    ReplyDelete