Monday 22 August 2011

BN WAJIB CARI FORMULA SELESAI ISU TANAH ADAT



BARISAN Nasional (BN) perlu terus berusaha mencari penyelesaian terhadap isu tuntutan tanah adat oleh penduduk di Sabah, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata ketika daerah Kota Marudu sedang menyelesaikan tuntutan tanah bertindih yang sudah berlarutan, masalah yang tidak ada kesudahannya berlaku di kawasan jiran Pitas; apabila penduduk kampung menuntut tanah mereka yang sedang dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Perhutanan Sabah (Safoda) dan Begaraya Sdn Bhd.

Ongkili berkata Pitas boleh menggunakan model Kota Marudu untuk mencari penyelesaian berhubung isu tuntutan tanah adat.

Katanya baru-baru ini, kerajaan negeri bersetuju bahawa 1,000 keluarga yang terjejas di 35 kampung di Kota Marudu yang mempunyai tuntutan bertindih dengan Safoda dan Begaraya, masing-masing diberikan tanah seluas 20 ekar.

"Saya meminta Jabatan Hasil Bumi dan Jabatan Tanah dan Ukur mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan tuntutan tanah adat tersebut," katanya semasa merasmikan mesyuarat agung tahunan Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Banggi, di sini hari Ahad.

Beliau berkata adalah tidak adil sama sekali dan mencekik darah apabila syarikat besar, yang mendapatkan kelulusan tanah sementara, menggunakan jentolak untuk meratakan tanah yang diusahakan oleh penduduk secara turun-temurun.

Ongkili, yang juga Timbalan Presiden PBS, berkata partinya telah menerima banyak aduan daripada penduduk pribumi dari seluruh Sabah bahawa tanah adat mereka diceroboh oleh syarikat-syarikat gergasi yang mendakwa mendapat kebenaran kerajaan negeri untuk membangunkan semula kawasan berkenaan.

"Isu ini boleh mengakibatkan rasa tidak puas hati serta boleh mencetuskan kemarahan di kalangan penduduk kampung," kata Ongkili.

Katanya beliau yakin BN mempunyai formula dan keupayaan untuk menyelesaikan isu tersebut. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment