Friday 12 August 2011

BORNEO SAMUDERA SEKEJAM YAHUDI?



Saudara Pengarang,

TIDAK tahu di mana silapnya, nasib Anak Negeri di Kinabatangan, terutama pemilik tanah adat di Sungai Pin kerana lebih malang daripada penduduk Palestine di Tebing Barat yang dihambat oleh penjarah Yahudi; kerana kami turut dihalau secara kejam oleh Borneo Samudera Sdn.Bhd, sebuah GLC Kerajaan Negeri Sabah.

Untuk makluman, saya bersama 500 orang ahli telah mengusahakan tanah adat di kawasan Sungai Pin, Kinabatangan ketika saya menjawat Ketua Daerah, Kawasan Kota Kinabatangan.

Walaupun Permohonan Tanah (P.T) kami ditolak pada 1995 dengan alasan kawasan yang dipohon telah diwartakan untuk Konservasi Hidupan Liar; namun kami masih mempunyai Hak Tanah Adat (Customary Right) sama seperti penduduk Imahit, sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Mungkin kerana ‘sial’ ADUN Sukau yang menjadi penentang utama dan musuh peribadi saya; maka tanah adat yang telah kami usahakan sejak berpuluh tahun telah dirampas secara kejam dan diserahkan oleh Jawatankuasa Penggunaan Tanah (LUC) kepada Borneo Samudera Sdn.Bhd (sebelum ini mencincang tanaman dan menebang rumah kami).

Kini barulah kami sedar bahawa tidak ada gunanya terus menyokong Adun Sukau dan Adun Kuamut dan Ahli Parlimen Kinabatangan kerana mereka gagal memperjuangkan Hak Anak Negeri Sabah, sebagaimana ketegasan Datuk Raimi Unggi dan Tan Sri Joseph Kurup sehingga rakyat mereka berjaya memperoleh Geran Komunal di kawasan Hutan Simpan Kelas 1!

Perampasan Hak Tanah Adat yang kami usahakan ini adalah kezaliman secara terang-terangan kedua Adun dan Ahli Parlimen yang gagal membela kepentingan Anak Negeri, sedangkan Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Panglima Musa Aman mengutamakan Hak Anak Negeri; apatah lagi GLC berkenaan boleh diberi kawasan lain yang lebih luas.

Salam Hormat,

OKK HAJI AHDAH SULAIMAN

No comments:

Post a Comment