Monday 8 August 2011

DAP DAN PKR BEREBUT PARLIMEN TENOM?



Oleh: GONOD SUNDA

KEGHAIRAHAN parti-parti politik semakin ketara apabila isyarat semboyan PRU13 akan menjelang tiba tidak berapa lama lagi, lebih-lebih lagi terdapat kenyataan demi kenyataan pemimpin kerajaan BN yang membayangkan seolah-olah pilihanraya sudah menghampiri selekoh garisan penamatnya.

Lantaran itu, di pihak pembangkang khususnya Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, DAP dan PAS sudah mengatur langkah awal masing-masing akan mencadangkan ke meja mesyuarat Negeri Pakatan Rakyat kononnya mereka sudah mengenal pasti kawasan-kawasan yang berpotensi dan bakal dimenangi parti masing-masing pada PRU13.

Dalam pada itu, difahamkan DAP, salah satu daripada parti gagasan Pakatan Rakyat sudah mendahului parti-parti lain dalam kerabatnya untuk menuntut kawasan-kawasan yang bakal ditandinginya terutamanya di kawasan Pedalaman; khususnya kawasan Parlimen Tenom yang merangkumi dua kawasan DUN iaitu Dun Melalap dan DUN Kemabong.

Berikutan tindakan DAP itu, membuatkan penyokong-penyokong PKR kawasan Parlimen Tenom melenting dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan mereka terhadap keputusan itu, memaksa kira-kira 100 pemimpin akar umbi PKR terdiri daripada AJK Cabang, Wanita dan Angkatan Muda bertandang ke kediaman Ketua Cabang untuk mendapatkan kepastian maklumat yang mereka terima itu.

Ramai yang menyifatkan keputusan itu sesungguhnya tidak adil jika maklumat yang mereka terima itu sahih dan memberikan kuota Parlimen Tenom yang merangkumi dua DUN (Melalap dan Kemabong) kepada DAP, sedangkan DAP tidak mempunyai ‘Political base’ di situ berbanding PKR yang sudah bertungkus lumus mengukuhkan pengaruhnya sejak lebih tiga tahun lalu, berserta dengan penubuhan beberapa ranting.

Sementara itu, beberapa individu yang memerhati keaktifan politik pembangkang di Tenom mendapati kehadiran DAP di Parlimen Tenom sekadar biasa dan ala kadar pengaruhnya; jika dibandingkan dengan PKR atau SAPP kerana kedua-duanya mempunyai Pejabat Perhubungan dan siap dengan kakitangan menjalankan jentera pentadbiran parti masing-masing.

“Apakah asasnya DAP dengan sewenang-wenangnya menuntut kawasan Parlimen Tenom dan apakah DAP mampu menumbangkan UMNO-BN yang mempunyai pengaruh dan kekuatan logistik yang kukuh di Tenom, sedangkan DAP hanya mampu melayani kehendak petugas jenteranya dengan air liur sahaja,” tegas salah seorang pemerhati.

Pandangan masyarakat di Tenom terhadap niat dan hasrat DAP sebagai terlalu terikut-ikut dengan keghairahan mereka bahawa rakyat tetap memihak kepada pembangkang pada PRU13 berdasarkan momentum sebelum ini; namun DAP gagal mengambilkira bahawa perjuangan DAP berasaskan kepada perjuangan untuk membela kebajikan masyarakat Cina, yang tidak sesuai digunakan di kawasan DUN Kemabong dan Melalap yang majoritinya adalah pengundi suku kaum Murut.

Harus diingat bahawa, tidak seperti PKR atau SAPP yang bulat-bulat sudah beralih kepada perjuangan berbilang kaum (multi racial), yang boleh dikategorikan sebagai sebuah parti yang bersesuaian dengan konsep berbilang suku kaum dalam perjuangannya.

No comments:

Post a Comment