Saturday 27 August 2011

DOMPOK SOKONG DAKWAT KEKAL BUKAN BIOMETRIK



PRESIDEN Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok berpendapat penggunaan dakwat kekal dalam sistem pilihan raya umum adalah lebih mudah berbanding sistem biometrik.

Katanya sistem biometrik agak sukar untuk digunakan dalam keadaan tertentu terutama apabila berlaku gangguan bekalan elektrik semasa hari pengundian.

Dompok, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, berkata dakwat kekal masih boleh digunakan dalam keadaan tertentu selain dapat mencegah pengundian berganda terutama di Sabah yang sudah sekian lama bergelut dengan masalah pendatang tanpa izin.

Beliau berkata demikian kepada pemnerita selepas majlis pemberian wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada pelajar bari ijazah pertama dan penyerahan sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi kawasan Parlimen Penampang di Lok Kawi, dekat sini, Jumaat.

Dompok, yang anggota Parlimen Penampang, mengulas laporan akhbar Khamis lepas bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempertimbangkan semula secara serius penggunaan dakwat kekal pada hari pengundian selepas dibatalkan penggunaannya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dipetik sebagai berkata suruhanjaya itu akan mengkaji dengan terperinci cadangan berkenaan sebagai salah satu langkah penambahbaikan sistem plihan raya sedia ada.

"Bagi saya, mana-mana pun tiada masalah tetapi yang mudah untuk digunakan ialah dakwat kekal," kata Dompok.

Ditanya kenapa kerajaan sebelum ini tidak berminat untuk melaksanakan penggunaan dakwat kekal dalam proses pilihan raya di negara ini, Dompok berkata kerajaan berpendapat penggunaan dakwat kekal lebih praktikal di negara-negara yang menghadapi kesukaran untuk mengadakan pilihan raya secara teratur.

"Saya rasa tidak ada bantahan daripada mana-mana pemimpin kerajaan termasuk saya mengenai penggunaan dakwat, jika keadaan memerlukan penggunaan dakwat kekal dilaksanakan ... kita di pihak kerajaan tiada bantahan," katanya.

Mengenai persediaan UPKO menghadapi PRU ke-13 akan datang, Dompok berkata parti itu sudah bersiap sedia menghadapinya pada bila-bila masa. (BERNAMA)

8 comments:

  1. Dakwat kekal sememangnya lebih senang dan murah berbanding penggunaan sistem biometrik.

    ReplyDelete
  2. Harap SPR akan menggunakan dakwat kekal semasa pilihanraya selepas ini. Kerajaan juga telah memberi pendapat bahawa tidak membantah penggunaan dakwat ini.

    ReplyDelete
  3. lebih baik gunakan keduanya, maka tak akan timbul isu lagi.

    ReplyDelete
  4. jika kaedah ini lebih mudah dan telus mungkin ianya akan digunakan ketika PRU nanti.

    ReplyDelete
  5. Rasanya dakwat kekal lagi bagus berbanding sistem biometrik walaupun kaedah tersebut agak ketinggalan zaman. sebelum ini sistem biometrik yang digunakan dalam program 6P pun ada sudah yang menimbulkan isu berhubung ketelusan.

    ReplyDelete
  6. Apa pun buat perbincangan untuk mendapat kata putus untuk cadangan menggunakan dakwat kekal ini.

    ReplyDelete
  7. sebenarnya penggunaan dakwat kekal juga boleh mengundang penipuan.. sebab itu negara India bercadang menggunakan biometrik pada pilihanraya negara itu akan datang.. tapi memandangkan majoriti rakyat negara ini beriya2 mahu menggunakan dakwat kekal, saya rasa pihak SPR perlu juga mempertimbangkannya.

    ReplyDelete
  8. setuju dengan supra.. mungkin spr boleh menggunakan kedua2nya jika wujud kes dimana sistem biometrik tidak berfungsi di kawasan pedalaman atau kampung..

    ReplyDelete