Tuesday 23 August 2011

HAYATI KEMERDEKAAN PADA BULAN RAMADAN



ERAT …Jamawi mendengar sesuatu dari seorang penghuni rumah Anak yatim sambil menghulurkan sumbangan peribadinya di majlis tersebut

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

DI SEBALIK kesibukan menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadhan dan persediaan menyambut hari raya Aidil Fitri, umat Islam di negeri ini diminta agar tidak lupa untuk menghayati sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 dengan mengibarkan lebih banyak Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan masing-masing.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Jamawi Jaafar berkata, sambutan Hari Merdeka kali ini pastinya disambut lebih meriah kerana diraikan bersama Aidilfitri.

Sehubungan itu, beliau berharap, di sebalik kesibukan menyambut hari raya tidak lama lagi, masyarakat juga tidak lupa menceriakan bulan kemerdekaan ini dengan menyamai dan menghayati makna kemerdekaan Negara dengan penuh kesyukuran dan keinsafan atas nikmat kemakmuran dan kemajuan yang telah dicapai selama ini.

"Kebetulan, dua peristiwa yang sama penting kita rayakan dalam bulan ini iaitu sambutan aidil fitri dan ulang tahun kemerdekaan negera ke 54. Apa yang dilakukan juga perlulah bergerak seiring antara pengisian kesucian Ramadhan dan penghayatan bulan kemerdekaan," katanya.

SEMANGAT ….Jamawi (tengah) menunjukkan isyarat 1 Malaysia bersama rombongan Konvoi Pemuda Umno Tenom sebelum berlepas ke Tambunan.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Konvoi kenderaan Merdeka Ramadan Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom berkonvoi menaiki kenderaan sebanyak 30 buah dari Tenom ke Rumah Anak Yatim Tambunan petang kelmarin untuk meraikan anak-anak yatim dengan majlis berbuka puasa dan juga penyampaian sumbangan duit raya dari Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom.

Mengulas program tersebut, Jamawi yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno bahagian Tenom berkata ia merupakan program yang dijadikan asas bagi membentuk jatidiri golongan belia, di samping menyuntik semangat bangga dan sayangkan Negara atas nama kemerdekaan yang dicapai dengan segala nikmat kemakmuran dan kemajuan yang telah dicapai oleh Negara selama 54 tahun.

"Program seperti ini perlu diperhebatkan memandangkan golongan belia merupakan pewaris kepimpinan negara dan mempunyai tanggungjawab yang cukup besar bukan sahaja menimba ilmu; malah mempertahankan kemerdekaan negara yang diwarisi daripada pejuang-pejuang kemerdekaan yang terdahulu,'' katanya.

No comments:

Post a Comment