Monday 8 August 2011

JANGAN SAMPAI MENTERI KKLW DISUMPAH LAKNAT!



Saudara Pengarang,

GURINDAM yang dilagukan oleh Pegawai Komunikasi Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Nadzerah Abdullah dalam artikel bertajuk ‘Pemborong Bumi Subur Tidak Ikut Piawai’ bagi menjawab kenyataan saya di Sabahkini.net bertajuk ‘Apa Ertinya NKRA Jika Masih Berhutang’; tidak mampu mendodoikan Undang-Undang Kontrak di Malaysia dan merupakan escapism Menteri KKLW, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk tidak membayar hutang dan memalukan Kerajaan Barisan Nasional.

Sebagai kontraktor, saya hanya mengikut arahan Juruteknik Pejabat Daerah Lahad Datu, Hafiz, yang menunjukkan kawasan jalan yang akan dinaiktaraf dan tempat memasang papantanda projek iaitu di Kampung Busul, Sapagaya.

Setelah kerja siap saya mengemukakan tuntutan projek, tetapi memandangkan ada masalah perebutan peruntukan di antara Ahli Parlimen Malaysia (Silam) dengan Ketua UMNO Bahagian Silam, maka berlaku lebihan belanjawan kerana kedua belah pihak berebut projek dan KKLW terpaksa menambah RM750,000 lagi bagi mencukupkan kos GWO yang telah dikeluarkan.

Tindakan KKLW menafikan tuntutan saya RM20,000 dan rakan saya sejumlah RM730,000 menunjukkan KKLW tidak faham akauntabiliti kerajaan terutama Arahan Perbendaharaan dan Akta Kontrak; seolah-olah GWO bernombor 172499 bagaikan cek tendang yang dikeluarkan Perbendaharaan Malaysia.

Untuk mengupah peguam bagi menuntut RM20,000 adalah ‘kerja sia-sia’ bagaikan mencurah garam ke laut kerana upah peguam mencecah RM50,000 tetapi KKLW, termasuk Nadzerah, jangan lupa bahawa doa orang yang teraniaya akan dimakbul Tuhan; termasuk sumpah laknat agar Menteri KKLW, keluarganya dan seluruh pegawai KLLW yang melakukan penindasan terbuka ditimpa bala dan tidak akan mencium bau syurga kerana menganiaya kontraktor kecil seperti saya.

Salam Hormat,

KUNSUL BIN NAHUL

No comments:

Post a Comment