Saturday 13 August 2011

KKLW BINA 20 RIBU UNIT RUMAH PPRT



KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sehingga kini sudah membina 20,322 unit rumah untuk penduduk miskin dan miskin tegar di bawah program bantuan rumah rakyat termiskin bagi tahun 2010 sehingga Julai tahun ini di seluruh negara.

Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pada tahun ini pihaknya menyasarkan untuk membina 3,000 unit rumah baru dan membaik pulih 6,000 unit rumah di seluruh negara.

"Pembinaan rumah itu membabitkan kontraktor kelas F dan agensi di bawah KKLW seperti Risda, Felcra dan Pusat GiatMara.

"Kerajaan menyasarkan membina 50,000 unit rumah bagi golongan terbabit dalam tempoh tiga tahun ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan melawat beberapa buah rumah penduduk miskin tegar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab dan Semantan, Pahang baru-baru ini.

Beliau berkata, Malaysia merupakan satu-satunya negara di rantau ini yang memberi rumah percuma kepada penduduk miskin tegar yang dilengkapi dengan insfrastruktur seperti bekalan elektrik dan air.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata para pelatih GiatMara dalam kemahiran kimpalan mempunyai peluang yang cerah untuk bekerja di 6,000 buah syarikat kimpalan di seluruh dunia.

Mohd Shafie berkata manfaat itu diperoleh setelah termeterainya perjanjian bersama (MoA) di antara GiatMara dan Institut Teknikal Kimpalan (WTI) London, Universiti Cambridge, United Kingdom pada 1 Ogos lepas.

"MoA itu ditandatangani oleh Pengerusi GiatMara Datuk Shahiruddin Ab Moin dan Pengarah Pembangunan Perniagaan WTI, Dr Reza Razmjoo di Universiti Cambridge, London," katanya.

Menurutnya melalui MoA itu, WTI akan melatih tenaga pengajar GiatMara dalam bidang kimpalan menerusi kursus jangka pendek antara 30 hingga 90 hari.

Katanya selain melatih pekerja 6,000 syarikat kimpalan antarabangsa, WTI turut melatih syarikat gergasi penerbangan Boeing. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment