Thursday 18 August 2011

KKLW ‘MENGANCAM’ KESELAMATAN NEGARA?



Oleh : MUTALIB M.D

KEMPEN ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ mungkin akan berkesudahan seperti Kempen ‘Tak Nak Merokok’ yang menelan belanja lebih RM100 juta, namun rakyat Malaysia terus menjadi penghisap rokok tegar di Asia Tenggara.

Jika kempen ‘Tak Nak’ tidak mendapat sokongan orang ramai, sebaliknya Kempen ‘Belilah Barangan Buatan Malaysia’ pula tidak mendapat sambutan daripada Kementerian dan Jabatan Kerajaan di Malaysia.

Buktinya, sekalipun di dalam dokumen kontrak menyatakan kontrak wajib menggunakan barangan buatan Malaysia, melainkan jika tidak ada di pasaran, barulah boleh mengimport daripada negara luar dengan izin khas Kementerian Kewangan, namun kementerian tertentu mengabaikan saranan dan kempen berkenaan.

Ironinya, spesifikasi di dalam dokumen kontrak bercanggah dengan syarat yang umum yang ditetapkan. Sebagai contoh, Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di Pulau-Pulau Daerah Semporna Sabah melalui tender bernombor KKLW.T.40/2011 bernilai RM95,282,320.00 yang diberikan kepada Ternama Tabah Sdn.Bhd dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid Fasa II di Pulau Banggi melalui tender bernombor KKLW.T.67/2011 bernilai RM81,475,281.42 diserahkan kepada Usaha Serimas Sdn.Bhd.

Dua tender berkenaan menetapkan penggunaan Bateri Asid Plumbum (berbahaya dan mencemar alam sekitar) yang akan digunakan di dua projek berkenaan WAJIB diimport secara MANDATORI daripada Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun.

Selaras dengan Kempen Beli Barangan Malaysia yang dilancarkan pada tahun 1998 untuk membantu pengusaha tempatan menghadapi pertumbuhan ekonomi yang kurang memberangsangkan; amalan KKLW ini telah ‘membunuh’ syarikat tempatan; terutama pengeluar bateri lithium polymer di Malaysia.

Mungkin agak keterlaluan jika dilihat kesungguhan syarikat ternama dunia seperti Mitsubishi, Hitachi dan Thales mengimport bateri lithium polymer daripada Malaysia untuk kegunaan luar negara dan kebanyakannya dieksport kembali ke negara ini dengan harga lima kali ganda daripada harga asal.

Dalam kegawatan ekonomi yang menyerang dunia, tindakan KKLW boleh dianggap sebagai mensabotag ekonomi negara dan mencancam keselamatan Negara; sebagaimana tindakan Pengerusi Federal Reserve Amerika Syarikat, Ben Bernanke, yang mengambil tindakan tidak popular termasuk mencetak wang dalam menghadapi krisis kewangan yang melanda negara berkenaan.

Walaupun Malaysia menandatangani Basel Convention, namun KKLW masih mengimport bateri Asid Plumbum dalam jumlah yang besar untuk kegunaan projek elektrik solar hibrid di luar bandar Sabah tanpa mendapat kelulusan Jabatan Alam Sekitar; sedangkan dalam masa yang sama Malaysia adalah salah satu pengeluar bateri lithium polymer yang terkemuka di Asia Tenggara.

No comments:

Post a Comment