Tuesday 9 August 2011

KORPORAT DIGESA BANTU GOLONGAN MISKIN



HADIAH ….. Lajim menyampaikan replika kunci Rumah Mesra Rakyat Yayasan Sabah kepada Rugayah sambil diperhatikan oleh Zulkhairi (tengah), Samin, Isnin dan Sanon.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

SYARIKAT korporat di negeri ini digesa menunaikan tanggungjawab sosial bagi membantu meringankan beban yang dihadapi golongan yang kurang berkemampuan.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, langkah itu bagi memastikan golongan tersebut tidak tercicir daripada mendapat pembelaan sewajarnya.

"Kita perlu memberi sumbangan kerana masih ada golongan seperti ini memerlukan pembelaan tanpa bergantung sepenuhnya terhadap usaha-usaha kerajaan terutamanya dalam pembasmian kemiskinan, khususnya di luar bandar “ katanya ketika berucap di majlis Ziarah Ramadhan dan Program Berbuka puasa anjuran bersama Kumpulan Yayasan Sabah Zon Pedalaman Selatan (YSZPS) di Masjid Kampung Lubak dekat sini, kemarin

Hadir sama Ketua Pentadbir YSZPS, Zulkhairi Haji Ismail Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih Pengarah YADIM Sabah, Haji Samin Ongki, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Beaufort, Mohd Ishak Ibrahim, Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Negeri Sabah, Sanon Sapri.

Di majlis tersebut Lajim yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut menyerahkan repelika kunci rumah Mesra Rakyat sumbangang YSZPS kepada seorang ibu tunggal, Rugayah Haji Aluk dari Kg Kubu Pintas dan juga sumbangan wang tunai dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah serta sumbangan peribadi beliau kepada fakir miskin, ibu tunggal dan warga emas.

Sambil memuji usaha yang dilakukan oleh Kumpulan Yayasan Sabah dalam membantu usaha kerajaan membasmi isu kemiskinan melalui pelbagai bantuan dan program yang diadakan oleh kumpulan tersebut; Lajim berkata usaha yang dilakukan oleh Kumpulan Yayasan Sabah perlu dicontohi oleh syarikat swasta dan sektor korporat yang lain kerana secara berterusan melaksanakan pelbagai program, terutama dalam aspek pembangunan modal insan bagi membantu memperkasakan lagi usaha yang telah sedang dan akan terus dilaksanakan kerajaan.

“Lebih banyak sektor korporat dan swasta tampil membantu melaksanakan tanggungjawab sosialnya sudah tentu usaha pembasmian kemiskinan tegar yang dilakukan oleh kerajaan dapat dipercepatkan,” katanya.

Sementara itu Ketua Pentadbir YSZPS Zulkhairi Haji Ismail berkata sumbangan rumah Mesra Rakyat tersebut merupakan sebahagian dari tanggungjawab sosial badan tersebut kepada golongan sasaran di samping katanya program-program pembangunan sosial yang lain akan terus diadakan terutamanya dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial.

"Kita berharap sumbangan rumah baru ini sebagai rezeki hari raya yang amat bermakna kepada penerima kali ini dan ini akan memberikan keceriaan kepada penerimanya bagi menyembut kedatangan hari raya aidil fitri tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment