Saturday 13 August 2011

8 KELUARGA DI KAMPUNG KUBU 2 AKAN DIBANTU



PRIHATIN…Lajim bersama salah seorang penduduk di kampung tersebut berbual mesra dan mendengar masalah yang mereka hadapi.

Oleh : JAAFAR ABDUL WAHID

NASIP lapan buah keluarga di kampung Kubu 2, Beaufort akan terbela apabila Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Malaysia, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin bersama-sama pegawai-pegawai dari Pusat Khidmat Parlimen Beaufort turun padang bagi meninjau masalah yang dihadapi oleh mereka yang terbabit di kampung tersebut.

Tanpa menjadikan alasan bulan Rahmadan sebagai penghalang untuk menemui rakyat, Lajim yang telah dimaklumkan oleh pemimpin masyarakat tempatan tentang masalah yang dihadapi oleh lapan keluarga terbabit, turun padang bagi melihat dan meninjau sendiri masalah yang mereka hadapi.

Kebanyakan mereka yang terbabit merupakan golongan berpendapatan rendah yang memerlukan pembelaan dari kerajaan, terutamanya dalam menyediakan kemudahan asas yang lebih baik dan sempurna.

Keadaan rumah mereka kurang selesa ketika ini mendorong Lajim yang juga Ahli Parlimen Malaysia (Beaufort) meluluskan peruntukan bagi membaiki rumah-rumah keluarga yang terbabit, termasuklah pendawaian elektrik ke kediaman mereka.

“Hari ini setelah mendapat maklumat, saya sendiri turun padang melihat masalah yang mereka hadapai dan apa yang boleh kita bantu, kita usahakan untuk mereka agar mereka tidak tercicir dari arus pembangunan,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke kampung berkenaan baru-baru ini.

DIBAIKI……Lajim berbincang dengan Jawarin tentang keperluan jambatan lorong kaki perlu dibuat di kampung tersebut.

Turut serta dalam lawatan tersebut Pegawai Pembangunan Khas Parlimen Beaufort Jawarin Nasar dan Yang Dipertua Persatuan Bekas Tentera Malaysia cawangan Sabah Abd.Sanon Haji Sapri.

Menurut Lajim selain bantuan kepada keluarga terlibat peruntukan lain bagi mempertingkatkan kemudahan asas jambatan lorong kaki dan kemudahan lain juga akan diberikan pertimbangan.

“Dasar kita ialah rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan menjadi asas utama apabila kerajaan Barisan Nasional hari ini, mendahulukan kepentingan rakyat, justeru tidak ada sebab bagi rakyat menolak kerajaan BN yang sentiasa membawa projek pembangunan untuk kepentingan rakyat,” katanya.

Bagi seorang penduduk, Saimah Sirin kedatangan Lajim yang juga Ketua Umno ke kampungnya merupakan rahmat terbaik sempena bulan ramadhan kali ini, kerana katanya, selain turun padang meninjau masalah rakyat, Lajim juga meluluskan peruntukan untuk membaiki rumahnya.

“Kita memang mengenali beliau (Lajim) sebagai pemimpin berjiwa rakyat, justeru kami merakamkan penghargaan dan terima kasih atas kunjungan yang tidak diduga ini dan turut meluluskan peruntukan pembaikan rumah untuk keluarga saya,” jelas Saimah.

No comments:

Post a Comment